KUALA LUMPUR, 12 Julai – Warga pendidik diingat supaya sentiasa menjaga tatasusila di dalam dan luar khidmat semasa menghadapi pilihan raya negeri (PRN) ketika ini.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, beliau telah menerima aduan berganda berkenaan isu guru yang memberikan komentar di media sosial.
“Kebanyakan ibu bapa dan orang awam bimbang jika ini merupakan laras bahasa dan pendekatan oleh individu yang bergelar pendidik.
“Perlu diingat, profesion guru tinggi kedudukannya dan sentiasa dipandang mulia oleh masyarakat.
“ Akhlak guru sentiasa menjadi cerminan kepada anak muridnya,” katanya dalam catatan di Facebook.
Beliau menegaskan, walaupun meraikan kebebasan bersuara dalam apa jua platform namun ia perlu hadir dengan semangat tabayyun iaitu menyemak sesuatu maklumat dan adab yang tinggi.
Beliau kini menyemak dan membuat siasatan terhadap aduan yang diterima mengikut garis panduan dan ikhtisas sedia ada. – nasionalkini.my