KUANTAN, 16 Ogos – Perbadanan Muzium Negeri Pahang (PMNP) melakar sejarah tersendiri melalui penubuhan Muzium Seni Kontemporari (MOCA) yang mula dibuka kepada umum sejak 5 Ogos lalu.
Bertempat di pusat bandar raya Kuantan, muzium terletak berhampiran Masjid Negeri Sultan Ahmad Shah 1 itu dahulunya dikenali sebagai Muzium Tokoh Pahang.
Pengarah PMNP, Datuk Ahmad Farid Abd Jalal berkata, MOCA mampu memberi kesedaran kepada masyarakat untuk menghayati dan menghargai seni dan ia bukanlah aktiviti golongan atasan semata-mata.

“Muzium ini berupaya mewujudkan ruang atau platform untuk setiap pengkarya seni kontemporari sama ada yang dikenali mahupun yang baru meningkat naik bagi mempamerkan karya seni masing-masing dengan selesa, selamat dan dapat diakses oleh pengunjung yang lebih ramai.
“Selain mengumpul, mempamer dan mempromosi karya seni kontemporari, muzium ini juga dapat mendidik dan memberi inspirasi kepada golongan muda melalui pelbagai media seni serta idea baharu,” katanya kepada nasionalkini.my di sini hari ini.
Paling membanggakan apabila Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat merasmikan pameran ‘Pahang In Nature’ di MOCA baru-baru ini.

Galeri ‘Pahang In Nature’ akan dibuka bagi kunjungan orang ramai selama enam bulan dengan mempamerkan 33 buah lukisan hasil karya Tengku Datuk Putri Marina Tengku Ibrahim yang memaparkan keunikan alam semula jadi di Pahang.
Ahmad Farid berkata, beliau yakin MOCA akan menjadi daya tarikan baharu kepada para pelancong dari dalam dan luar negara.
“MOCA mengetengahkan hasil seni kontemporari artis dari Pahang sendiri, dalam dan luar negara daripada pelbagai disiplin seni seperti lukisan, arca, fotografi, instalasi, grafiti, video dan filem, seni persembahan serta pelbagai lagi sebagai pameran utamanya.
“Saya beriltizam menjadikan muzium ini sebuah institusi atau media berpengaruh dalam memaparkan dan memperkenalkan aktiviti seni pelbagai peringkat khususnya untuk tatapan masyarakat,” katanya.- nasionalkini.my