in

Dugaan ibu tunggal OKU jaga anak sakit kronik

Ibu tunggal OKU, Zarina Mohd Ali, 59, berdepan ujian apabila ketiga anaknya disahkan mengidap penyakit kronik

Oleh Arman Dhani Zafir

KUANTAN, 29 Mei – Seorang ibu tunggal ditimpa dugaaan demi dugaan selepas kedua belah kakinya dipotong sehingga ke paras betis akibat pe­nyakit kencing manis, sejak tujuh tahun lalu.

Ibu tunggal orang kurang upaya (OKU) ini, Zarina Mohd Ali, 59, berdepan lagi ujian apabila ketiga anaknya disahkan mengidap penyakit kronik, seorang demi seorang.

Hanya berbekal wang pencen suaminya, Mohd Shamsuri Abdullah yang sudah meninggal dunia akibat serangan jantung dan bekerja di Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, kini segala perbelajaan perubatan dan kehidupan harian tergalas di bahunya seorang.

Zarina berkata, pada mulanya kaki kirinya sahaja dipotong sehingga ke paras lutut pada sekitar 2016, namun akibat keadaan kesihatannya meruncing, kaki kanan pula dipotong pada tahun 2020.

Katanya, selepas itu, anak keduanya, Khairun Nabilah Mohd Shamsuri, 29, disahkan menghidap kegagalan buah pinggang sekitar tahun 2011 ketika berusia 17 tahun dan perlu menjalani proses dialisis tiga hari seminggu.

“Nabilah perlu pegi dan balik ke pusat dialisis dengan perbelanjaan sendiri, disebabkan tidak boleh memandu sekurang-kurangnya dia memerlukan RM500 untuk tambangnya berulang-alik.

“Dulu makcik ada pelindung (suami), makcik tak rasa tekanan yang melampau macam ni sangat. Apa-apa kami berdua, ayahnya yang banyak membantu menghantar dan mengambil Nabilah membuat rawatan. Sejak dia tiada, semua makcik kena hadap seorang, ” katanya ketika ditemui di rumahnya di Perkampungan Sungai Isap Perdana, di sini.

Zarina memberitahu, anak bongsunya, Khairun Nisha, 22, juga didiagnos dengan kegagalan buah pinggang dua tahun lalu, dan perlu menjalani Dialisis Peritoneal Ambulatori Berterusan (CAPD).

“Pada awalnya Nisha disahkan badannya dipenuhi toksin dan kurang darah (anemia). Tapi, lepas tu doktor beritahu dia ada sakit buah pinggang juga, tapi kena jalani CAPD di rumah.

“Minggu lepas, Nisha jatuh pengsan dan dikejarkan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) disebabkan mengalami jangkitan kuman,” katanya.

Setelah tujuh hari bertarung nyawa, 25 Mei lalu, doktor mengesahkan Nisha gagal meneruskan rawatan dan disahkan meninggal dunia.

“Dia dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Setali, di sini, Khamis lalu,” katanya.

Dalam pada itu, lebih meruntun jiwa, Zarina berkata, anak sulungnya yang menjadi tulang belakang keluarganya, Mohd Amir Haziq, 30 pula disahkan terkena jangkitan kulit selulitis.

Jelasnya, penyakit itu mengakibatkan Amir tidak boleh bergerak bebas dan hanya terlantar di rumah sejak November tahun lalu.

“Sejak menderita penyakit itu, Amir tidak mampu lagi untuk bekerja dan kini berada di HTAA kerana menerima rawatan.

“Saudara terdekat ada datang melawat, memang mereka cakap makcik kuat dengan dugaan ni. Hakikatnya tiada siapa tahu makcik menangis sendirian macam mana,” katanya lagi.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi nombor talian +60 10-653 1643 untuk mendapatkan maklumat lanjut. – nasionalkini.my

Erdogan kekal teraju Turkiye

Bursa Malaysia terus catat aliran keluar bersih asing