KUANTAN, 21 Julai – Pengurus Besar NasionalKini, Abdul Jamil Mohamed dan barisan pengurusannya mengadakan kunjungan hormat ke atas Setiausaha Akhbar Kepada Menteri Besar Pahang, Zulkhairil Zainuddin di pejabatnya di Wisma Sri Pahang, kelmarin.
Kunjungan itu adalah pertemuan pertama antara kedua pihak sejak portal berita nasionalkini.my memulakan operasi tiga bulan lalu.
Menurut Abdul Jamil, tujuan kunjungan itu adalah bagi memperkenalkan nasionalkini.my dengan memperincikan konsepnya dalam menjalin kerjasama antara portal berita berkenaan dengan kerajaan negeri diterajui Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
“Saya harap nasionalkini.my dapat memainkan peranan dalam membantu merealisasikan agenda dan aspirasi kerajaan Pahang demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat negeri ini.
“Terima kasih juga diucapkan kepada Encik Zulkhairil kerana sudi menyambut kedatangan kami dengan memberikan pelbagai idea dan cadangan dalam memajukan portal ini,” katanya, hari ini.
Sementara itu, Zulkhairil berharap kewujudan portal berkenaan dapat menyampaikan maklumat tepat dan cepat kepada masyarakat, terutama melibatkan usaha kerajaan Pahang dalam menjaga kebajikan rakyat. – nasionalkini.my
BERITA BERKAITAN