in

Ada surat Hang Tuah di Vatican City

Surat yang dikatakan dihantar oleh perutusan maharaja itu yang juga pelukis terkenal potret Monalisa, Leornardo Da Vinci kini tersimpan di sebuah muzium di Vatican City, Rom di Itali - Gambar hiasan

AYER KEROH, 29 Julai – Kerajaan Melaka merancang untuk membawa pulang manuskrip lama dipercayai sepucuk surat yang didakwa diutuskan Maharaja Rom kepada Hang Tuah suatu ketika dahulu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata surat yang dikatakan dihantar oleh perutusan maharaja itu yang juga pelukis terkenal potret Monalisa, Leornardo Da Vinci kini tersimpan di sebuah muzium di Vatican City, Rom di Itali.

Katanya, pengkaji sejarah dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Rohaidah Kamaruddin mengesahkan mengenai penemuan dan kewujudan surat itu.

“Dr Rohaidah melakukan kajian sejarah berkaitan ke Vatican City dan satu daripada hasil penyelidikan menemui sepucuk surat dipercayai ditujukan kepada Hang Tuah dengan menggunakan nama ‘Laksamana Orang Muda’.

“Ada beberapa perkataan yang sukar dibaca pada surat itu, tetapi beliau yakin surat terbabit ditujukan kepada Hang Tuah sebelum dititahkan Sultan Mansur Shah untuk menghadap Maharaja Rom.

“Surat itu dihantar oleh Leornardo Da Vinci,” katanya kepada BH baru-baru ini.

IMG 20230516 WA0001
Datuk Seri Ab Rauf Yusoh

Ab Rauf berkata, kerajaan negeri menubuhkan satu jawatankuasa khas dianggotai pakar dan pengkaji sejarah Melayu untuk berkunjung ke Vatican City bagi membawa pulang surat terbabit serta beberapa artifak lain.

Dalam pada itu, beliau berkata, beberapa fakta sejarah Kesultanan Melayu Melaka perlu diperbetulkan bagi memastikan generasi sekarang dan akan datang tidak terkeliru.

“Kita mahu ‘meluruskan’ sejarah Melaka ini.

“Banyak artifak berkaitan dengan Melaka boleh menyokong usaha bagi memperbetulkan fakta sejarah berkaitan negeri ini.

“Ramai pengkaji sejarah menemui saya dan memberi galakan supaya melakukan sesuatu untuk membawa pulang artifak terbabit yang kini berada di serata dunia seperti Okinawa, Jepun; Vatican City, Rom; India serta Muzium Topkapi di Turkiye.

“Dengan kewujudan artifak sejarah itu sebenarnya membuktikan kehebatan sejarah Kesultanan Melayu Melaka diketuai Laksamana Hang Tuah itu wujud di serata dunia.

“Kerajaan negeri sedang berusaha membawa balik semua artifak ini dan sedang mengatur bajet khas bagi memastikan usaha itu dapat direalisasikan,” katanya.- nasionalkini.my

WhatsApp Image 2023 07 29 at 10.33.21 AM 2

Berkat jaga ibu dan nenek OKU, Helmy terus cemerlang dalam pengajian kini hasrat sambung ke peringkat sarjana

GP Belgium perlu dibatalkan