in ,

Berkat jaga ibu dan nenek OKU, Helmy terus cemerlang dalam pengajian kini hasrat sambung ke peringkat sarjana

WhatsApp Image 2023 07 29 at 10.33.21 AM 2
Muhammad Helmy Abdullah menganggap ibunya Che BayaAli sebagai sumber kekuatan yang membolehkan dirinya berjaya mengenggam segulung ijazah.

MAHU seribu daya tak nak seribu dalih.. mungkin itu yang dipegang anak muda ini yang sanggup berjuang dan berkongsi masa dan tenaga demi mencari ilmu dan menunaikan tanggungjawab sebagai seorang anak.

Meskipun terpaksa berkorban dan berulang alik dari kampus Sintok ke Alor Setar sejauh hampir 50 kilometer setiap minggu bagi melihat keperluan ibunya dan keluarga terdekat iaitu bapa saudara dan nenek yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) namun tidak menjadi halangan anak muda hebat ini meneruskan pengajian.

WhatsApp Image 2023 07 29 at 10.33.21 AM 1
Kenangan bersama Naib Canselor, Prof Dr Mohd Foad Sakdan dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar Dan Alumni) Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed selepas Majlis Konvokesyen UUM ke-35 pada 27 Julai lalu.

Malah, kesungguhan dan keihlasan itu akhirnya membuahkan rezeki dan berkat apabila dia berjaya menggenggam impian untuk bergelar graduan.

Lebih membanggakan, Muhammad Helmy Abdullah juga turut menerima Ijazah Kelas Pertama dalam Ijazah Sarjana Muda Kaunseling, di Universiti Utara Malaysia (UUM) pada Majlis Konvokesyen yang ke-35, berlangsung 27 Julai lalu.

“Konvokesyen kali ini juga amat bermakna bagi saya kerana bukan sahaja berjaya mendapat kelas pertama tetapi lagi istimewa dapat bertemu mata dengan Naib Canselor, Prof Dr Mohd Foad Sakdan dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar Dan Alumni) Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed selepas majlis konvokesyen, baru -baru ini,”katanya kepada nasionalkini.my

Berkongsi cerita anak muda hebat ini mengakui tiada istilah penat menguruskan ibunya, nenek dan bapa saudaranya namun ia satu kepuasan kepadanya kerana menganggap itu sebagai tanggungjawabnya.

WhatsApp Image 2023 07 29 at 10.35.29 AM
Beberapa pensyarah yang banyak memberi tunjuk ajar sepanjang kuliah turut hadir memeriahkan majlis konvokesyen baru-baru ini.

“Sebagai anak lelaki tunggal dalam keluarga ia menjadi satu tanggungjawab bagi memastikan semua keperluan mereka terurus sebelum kembali ke kampus.

“Sudah menjadi rutin mingguan saya untuk berulang dari Sintok ke rumah saya di Alor Gonchar, Alor Setar untuk menjenguk dan menguruskan keperluan mereka,” kongsinya lagi.

Bagaimanapun kini tumpuan diberikan sepenuhnya kepada ibunya Che Baya Ali berikutan nenek dan bapa saudaranya yang merupakan insan penting dalam hidupnya dijemput Ilahi akibat COVID-19 pada 2021.

Helmy yang kini bertugas di Independent Living Centre (ILC) Permai UUM, menyediakan perkhidmatan kepada semua kategori OKU yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berhasrat untuk menyambung pengajian lagi ke peringkat sarjana dan juga doktor falsafah.

“Cita-cita pertama saya telah tercapai dan kini saya berhasrat untuk teruskan pengajian ke peringkat sarjana dan PhD nanti,” ujarnya yang kehilangan bapanya ketika usianya setahun. – nasionalkini.my

graduan
Kenangan bersama pensyarah dan rakan sekuliah selepas selesai majlis konvokesyen, baru-baru ini.

Tiada kelibat Juventus dalam kejohanan Eropah musim depan

Ada surat Hang Tuah di Vatican City