KUANTAN, 31 Julai – Sebanyak 35 pasukan dari dalam dan luar negara menyertai Regatta Perahu Naga Diraja Pahang yang julung diadakan semalam.
Regatta itu dianjurkan pihak pengurusan Kuantan 188 dengan kerjasama kerajaan Pahang dan Tourism Pahang.
Acara itu adalah antara pengisian Pesta Kuantan 188 yang diadakan sempena memuliakan ulang tahun hari keputeraan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Pelepasan acara itu dilakukan Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Pahang, Leong Yu Man dan turut dihadiri Pengurus Besar Tourism Pahang, Kamaruddin Ibrahim serta Pengarah Urusan Kuantan 188, Datuk Zulkifli Mohamad.
Yu Man dalam ucapan perasmian berkata, kerajaan Pahang berhasrat menjadikan acara itu sebagai acara tahunan bertaraf antarabangsa.
“Penganjuran acara Regatta Perahu Naga Diraja Pahang ini boleh membantu melonjakkan lagi ekonomi Pahang, terutamanya dalam sektor pelancongan,” katanya.
Sementara itu, Zulkifli berkata, pemilihan Sungai Pahang sebagai lokasi acara adalah kerana ianya strategik dan mempunyai fasiliti mencukupi.
“Selain itu acara berkenaan dapat menghidupkan semula Sungai Kuantan.
“Sungai ini sangat cantik dan tidak seharusnya dibiarkan sepi tanpa sebarang aktiviti,” katanya.- nasionalkini.my