in

Majlis nikah Mimi Lana, Syafiq Kyle batal

Pasangan popular, Syafiq Kyle dan Mimi Lana

PETALING JAYA, 11 Ogos – Berbaki seminggu sebelum disatukan sebagai suami isteri, pasangan popular, Syafiq Kyle dan Mimi Lana mengejutkan ramai apabila membatalkan majlis pernikahan mereka yang sepatutnya berlangsung 18 Ogos ini.

Pembatalan itu dimaklumkan wakil syarikat pengurusan aktres berkenaan, Iman Tang menerusi mesej kepada tetamu majlis yang dijadualkan diadakan di Puncak Rimba, Bentong, Pahang.

Iman yang meminta maaf atas kesulitan luar jangkaan tersebut bagaimanapun tidak menyatakan perincian pembatalan membabitkan acara pernikahan dan persandingan yang dirancang.

“Saya dan pihak pengurusan ingin mengumumkan bahawa majlis pernikahan dan resepsi Mimi Roziana dan Muhammad Syafiq Shamim yang dijadualkan 18 Ogos 2023 di Puncak Rimba, Bentong, Pahang dibatalkan atas beberapa perkara tidak dapat dielakkan.

“Mohon maaf atas segala kesulitan,” tulisnya dalam pesanan ringkas itu, lapor KOSMO.

Pasangan popular, Syafiq Kyle dan Mimi Lana

Berdasarkan rencana awal, akad nikah pasangan itu difahamkan diadakan pada waktu pagi, disusuli majlis resepsi yang bakal berlangsung di lokasi sama sebelah malamnya.

Begitupun, usaha KOSMO mendapatkan pengesahan daripada Iman Tang tidak berhasil apabila kiriman mesej tidak dibalas.

Pada masa sama, Mimi seakan-akan memberi bayangan isi hatinya apabila memuat naik puisi berbahasa Inggeris tentang penghargaan terhadap wanita dalam Instagram.

Terus mencetuskan tanda tanya, Mimi turut menutup ruangan komen pada hantaran berkenaan.

Terdahulu, hubungan antara dua personaliti popular itu pernah terlerai pada Mei 2020 selepas lima tahun bercinta, namun kembali bertaut selepas itu.

Ikatan mereka tampak semakin utuh apabila memuatnaik gambar dipercayai majlis merisik di media sosial pada 21 Januari lalu.

Malah sekitar Mac lalu Mimi atau nama sebenarnya, Mimi Rozaiana Zainal Abidin, 27, mendedahkan persiapan hari bahagia mereka sudah 50 peratus disempurnakan.

Apatah lagi bintang filem ‘Pusaka’ itu baru saja diraikan teman terdekat dalam sebuah majlis ‘bachelorette’ yang meriah.- nasionalkini.my

Fadhli sedia kembali beraksi

3 warga asing ceroboh kawasan rizab harimau diraja