Oleh Mohammad Ishak
KUALA BESUT, 31 Julai – Kira-kira 50 mahasiswa Fakulti Biosumber dan Industri Makanan (FBIM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bersama penduduk Kuala Besut yang kebanyakan terdiri keluarga nelayan menjayakan Program Semarak Siswa Madani Agro Maju.
Program yang julung kali diadakan itu bertujuan memberi inspirasi kepada mahasiswa supaya sentiasa bergiat aktif dalam program khidmat masyarakat dan mengeratkan hubungan antara masyarakat.
Sempena program tersebut pelbagai aktiviti menarik diadakan bersama penduduk kampung antaranya demonstrasi cantuman durian, demonstrasi bonsai, pameran sains dan pertanian.

Selain itu penduduk setempat juga berpeluang membuat pemeriksaan kesihatan secara percuma yang disediakan pihak uniSZA, menyertai pertandingan mewarna, Tahsin al-Quran, sukan rakyat, cabutan bertuah, merewang dan agihan gulai daging serta rersembahan dikir barat.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Datuk Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Hafiz Yusoff yangmerasmikan program berkenaan berkata, menerusi program yang dianjurkan ia diyakini mampu memberi nilai tambah kepada mahasiswa dalam berkomunikasi dengan masyarakat setempat.

Menariknya program itu memberi peluang kepada mahasiswa menujuk bakat dalam bidang masakan sambil di pantau masyarakat setempat termasuk memasak gulai kawah secara berjemaah.
Pengalaman menarik itu memberi peluang kepada mahasiswa mengetahui cara menyediakan hidangan setempat iaitu gulai kawah yang menjadi hidangan istimewa masyarakat di negeri- negeri di pantai timur.
Bukan sekadar dimasak dan makan bersama tetapi hasil masakan itu turut dikongsi kepada penduduk setempat. – nasionalkini.my


