Yusuf Shafie
MELAKA, 23 Mei – Kepantasan anggota bomba berjaya menyelamatkan seorang remaja perempuan yang dipercayai cuba terjun dari tangki air di Rumah Budak Laki-laki Tun Abdul Aziz, Durian Daun, di sini tengah hari tadi.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I, Khairudin Atan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berlaku cubaan bunuh diri
melibatkan remaja berusia 16 tahun di rumah kebajikan itu pada pukul 1.13 tengah hari.
Menurutnya, seramai 13 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah dikejarkan ke lokasi sebelum mendapati seorang remaja perempuan berusia 16 tahun memanjat tangki air berkenaan setinggi enam meter.
“Remaja berkenaan bagaimanapun berjaya dipujuk selepas lima minit dan diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan lanjut sebelum operasi tamat pada pukul 2.02 petang.
“Guru di pusat kebajikan itu memaklumkan, remaja terbabit sedang mengalami kemurungan melampau, namun tidak dapat dipastikan punca berlaku keadaan itu,” katanya.
Sementara itu, tinjauan nasionalkini dilokasi mendapati operasi sekolah berjalan seperti biasa tanpa sebarang gangguan akibat kejadian itu. – nasionalkini.my