in ,

Polis berkas tiga suspek kes pecah rumah

logo polis 2 1651832730
Gambar hiasan

PETALING JAYA, 9 Ogos – Polis memberkas tiga individu termasuk seorang wanita dipercayai terlibat dalam kes pecah rumah di Damansara Damai di sini pada 30 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya telah menerima laporan berkaitan kes pecah rumah tersebut pada jam 12.28 tengah hari.

“Pengadu mendapati pintu grill dalam keadaan terbuka dan rumah dipecah masuk ketika dia pulang pada jam 11.30 pagi. Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kerugian RM2,700,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Fakhrudin berkata, bertindak di atas risikan, sepasukan polis dari Balai Polis Damansara memberkas tiga individu warga tempatan di Plaza Tol Sungai Buloh pada jam 2 petang, 1 Ogos lalu.

“Siasatan lanjut ke atas suspek yang ditangkap, kita merampas seutas rantai berserta loket, sebotol minyak wangi, dua beg silang, telefon bimbit pelbagai jenama, dua keping surat pajak gadai dan peralatan yang disyaki digunakan untuk aktiviti pecah rumah.

“Semakan rekod mendapati kesemua suspek mempunyai rekod jenayah dan ujian air kencing mendapati hanya salah seorang suspek yang ditahan positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.

Beliau berkata, hasil tangkapan itu pihaknya berjaya menyelesaikan empat kes pecah rumah di sekitar daerah Petaling Jaya dengan kerugian keseluruhan dianggarkan RM24,800. – nasionalkini.my

Projek lapangan terbang Tioman batal

Lebih 50 peratus penjaja guna kaedah bayar tanpa tunai