Oleh Yusuf Shafie
ALOR GAJAH, 15 Mei – Rakyat di negeri ini dijangka berdepan catuan bekalan air sekiranya paras air di tiga empangan utama negeri berada pada tahap 70 peratus berbanding 100 peratus ketika ini.
Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, cadangan itu mungkin terpaksa dilakukan untuk mengelakkan berulangnya krisis bekalan pada 2019.
Menurutnya, ketika itu kerajaan negeri hanya mengambil langkah catuan apabila paras air di empangan merosot ke tahap 40 peratus.
“Sebenarnya setakat semalam, bekalan air di empangan sangat baik yang mana Empangan Jus dan Asahan parasnya 100 peratus manakala Empangan Durian Tunggal kekal tahap 99 peratus.
“Jika paras ini berkekalan, bekalan air untuk penduduk mampu bertahan sehingga September malah kalau kita aktifkan catuan, ia mampu bertahan sampai November kerana musim kemarau pun dijangka berlaku pada hujung September.
“Tapi saya dan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) akan cadangkan jika bekalan empangan dah tahap 70 peratus, kita terus buat catuan, jangan tunggu dah terdesak, tak ada air baru nak buat catuan macam 2019,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Limau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Sambutan Hari Raya Aidilfitri DUN Ayer Limau di rumahnya di Kampung Jeram, di sini malam tadi.
Ditanya adakah catuan itu melibatkan semua kawasan, Hameed berkata, cadangan itu hanya melibatkan kawasan penduduk manakala bagi sektor perindusrian, bekalan diteruskan seperti biasa.
“Kita tak mahu sektor industri ini terjejas kerana ia akan memberi kesan pada ekonomi negara jika mereka terpaksa tangguh operasi malah pekerja juga akan terkesan.
“Bagi kawasan kediaman, kita juga sedang kaji apakah kaedah catuan sesuai sama ada mengikut zon atau bekalan diberikan selang sehari,” katanya. – nasionalkini.my