PASIR GUDANG, 8 Ogos – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) merampas 28,000 liter minyak diesel bersubsidi dan menahan lima lelaki dipercayai terbabit dalam aktiviti pemindahan minyak secara haram di Muara Sungai Paloh, Pasir Gudang di sini, tengah malam tadi.
Pengarah Maritim Malaysia Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, dalam operasi kira-kira jam 12.30 tengah malam, kegiatan itu terbongkar hasil pemantauan bot ronda Maritim Malaysia di Muara Sungai Paloh dan berdasarkan risikan serta maklumat diterima.
“Bot ronda mengesan sebuah vesel dan lori tangki di muara sungai itu dalam keadaan mencurigakan dan pemeriksaan mendapati hos dan pam minyak disambung antara lori tangki dan bot terbabit.
“Vesel itu dikendalikan tiga kru termasuk nakhoda terdiri warga tempatan dan warga Indonesia berusia antara 29 hingga 64 tahun. Ketiga-tiga suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan muatan diesel yang dipercayai dipindahkan dari lori tangki di lokasi berkenaan.
“Anggota kita turut menahan dua lagi suspek yang berada dalam pacuan empat roda di lokasi kejadian, termasuk seorang warga tempatan dan warga Myanmar berusia 48 dan 58 tahun kerana disyaki turut terbabit dalam aktiviti haram ini,” katanya.
Nurul Hizam berkata, pihak merampas minyak diesel bersubsidi bernilai RM130,000, vesel, lori tangki dan kenderaan pacuan empat roda dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM3.3 juta.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 361(1) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, Seksyen 135(c) Akta Kastam 1967, Peraturan 18 Akta Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021, Peraturan 21 Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan lain-lain akta berkaitan,” katanya. – nasionalkini.my