KUALA LUMPUR, 8 Ogos – Kehadiran ‘Oyen’, kucing yang tular ‘bersahabat’ baik dengan tikus gergasi capybara telah melonjakkan kedatangan pengunjung ke Zoo Negara hingga melebihi 3,000 orang pada hujung minggu.
Naib Presiden Zoo Negara, Rosly@Rahmat Ahmat Lana, berkata ‘Oyen’ yang kini menjadi ‘Star of Zoo Negara’ mempunyai populariti luar biasa susulan keunikan persahabatannya dengan capybara sejak tiga tahun lalu.
“Setiap hari, 95 peratus daripada pengunjung yang datang hanya mahu melihat ‘Oyen’.
“Dia sangat popular, sebab itu saya panggilnya The Star of Zoo Negara, malah kedatangan pengunjung juga meningkat dua kali ganda terutamanya pada hujung minggu,” katanya kepada Bernama.
Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya berhasrat untuk mencarikan pasangan buat ‘Oyen’ supaya kucing itu mempunyai anak.
“Kami sedang berusaha untuk mencari pasangan yang sama jenis dan seusia dengan ‘Oyen’.
“Jadi, jika ‘Oyen’ sudah tiada, akan ada anaknya nanti di sini untuk tatapan pengunjung,” katanya.
Rosly berkata, pihak zoo juga akan bertindak menjaga kebajikan kucing berkenaan termasuk memberi makanan bernutrisi selain memantau tahap kesihatannya.
“Berbanding dahulu,’ Oyen’ kini sudah jinak dan boleh didekati.
Tujuan kami mahu rapat dengan ‘Oyen’ supaya jika satu hari nanti ‘Oyen’ jatuh sakit, mudah untuk kami pegang dan merawatnya,” katanya.
Persahabatan dua haiwan berlainan spesies itu menjadi tarikan baharu Zoo Negara selepas video memaparkan ‘Oyen’ yang juga kucing jalanan, tidur dan memeluk capybara tular menerusi media sosial.- nasionalkini.my