SEGAMAT, 8 Ogos – Seorang wanita berusia 20 tahun cedera selepas disebat bapanya dengan menggunakan rotan dalam kejadian di Kampung Melayu Raya, Segamat, dekat sini, pagi semalam.
BH melaporkan, Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, polis menerima laporan daripada mangsa pada jam 12.16 tengah malam tadi, memaklumkan mengalami luka selepas dipukul menggunakan rotan berukuran kecil.
“Polis segera menjalankan siasatan sebelum menahan bapa mangsa yang berusia 45 tahun di kediamannya jam 2.33 pagi tadi.
“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku jam 11 pagi semalam ketika bapa mangsa juga penoreh getah dikatakan berada di rumah.
“Ketika kejadian mangsa berada di rumah sebelum didatangi bapanya yang secara tiba-tiba bertindak merotan mangsa lebih 10 sebatan di betis, peha dan siku menggunakan rotan,” katanya.
Ahmad Zamry berkata, siasatan awal mendapati lelaki itu bertindak demikian kerana tidak berpuas hati terhadap anak perempuan sulungnya itu selepas mengikut saudara terdekatnya bekerja sebagai jurujual di Sungai Buloh tanpa memaklumkan kepadanya terlebih dulu.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 324/ 18A Akta Keganasan Rumah Tangga kerana dicederakan,” katanya. – nasionalkini.my