KUALA LUMPUR, 24 Mei – Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Menteri Keselamatan Negara Israel, Itamar Ben-Gvir, yang menceroboh Masjid Al-Aqsa dan pekarangannya, dengan menyifatkan perbuatan itu adalah provokasi dan pencerobohan jelas terhadap status quo politik Baitulmaqdis dan Al-Haram Al-Sharif.
Kementerian Luar Malaysia menegaskan bahawa Malaysia mengulangi gesaan agar anggota masyarakat antarabangsa meminta rejim Israel bertanggungjawab ke atas pencerobohan berterusan yang memburukkan lagi keadaan.
“Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mesti menunaikan tanggungjawab seperti termaktub dalam Piagam dan segera menuntut tentera pengganas Israel menghentikan tindakan provokasi demi keamanan dan kestabilan di rantau ini,” katanya seperti dilapor Bernama.
Malaysia terus bersolidariti dengan rakyat Palestin, dan menuntut hak mereka yang sah untuk sebuah negara yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan sebelum 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya.
Ahad lalu, Ben-Gvir yang diiring kawalan ketat tentera pengganas negara haram itu memasuki Masjid al-Aqsa dan mendakwa kawasan itu adalah hak negaranya.
Pencerobohan ke Masjid al-Aqsa di Baitulmaqdis adalah kali kedua dilakukan Ben-Gvir sejak memegang jawatan sebagai Menteri Keselamatan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu.
Pada 3 Januari lalu Ben -Gvir memasuki Masjid al-Aqsa beberapa hari selepas memegang jawatan – yang mana tindakannya itu menjadi menteri pertama memasuki masjid berkenaan dalam tempoh lima tahun ini. – nasionalkini.my