KUALA LUMPUR, 15 Mei – Kerajaan digesa meneliti semula keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan penganut Kristian boleh menngunakan kalimah Allah, Baitullah, Kaabah dan penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.
Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang berkata, pihaknya berharap kerajaan dapat meneruskan rayuan tersebut ke mahkamah tertinggi negara dengan mempertimbang pelbagai sudut dan segala aspek khususnya kepada maslahah dan kepentingan umat Islam di negara ini.
“Sebarang tindakan dibuat kerajaan hendaklah mengambil kira undang-undang negeri khususnya menghalang penggunaan kalimah-kalimah tertentu termasuk Allah yang diluluskan Dewan Undangan Negeri dan diperkenan oleh Sultan serta mengelakkan sebarang tindakan boleh menjejaskan kuasa raja-raja Melayu.
“Kami juga berharap pihak kerajaan tidak terpengaruh dengan desakan pihak-pihak tertentu supaya kerajaan menarik balik rayuan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kerajaan Malaysia telah menarik balik rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan Arab.
Notis pemberhentian tersebut telah difailkan oleh Jabatan Peguam Negara pada 18 April lalu.
Menurut notis berkenaan, menyatakan bahawa kementerian itu dan Kerajaan Malaysia tidak berniat untuk meneruskan rayuan yang difailkan pada 12 Mac 2021 dan memberhentikan keseluruhan rayuan tanpa sebarang perintah terhadap kos.
Pada 10 Mac 2021, Hakim Nor Bee Ariffin yang kini merupakan Hakim Mahkamah Rayuan memutuskan kalimah Allah boleh digunakan dalam penerbitan bahan agama Kristian bagi tujuan pembelajaran namun tertakluk pada syarat-syarat tertentu.
Hakim itu memutuskan demikian dalam semakan kehakiman yang difailkan Jill Ireland.
Jill Ireland yang merupakan seorang wanita Melanau memfailkan semakan kehakiman pada 2008 memfailkan semakan kehakiman untuk menuntut semula lapan cakera padat mengandungi kalimah Allah dan relif bahawa hak pelembagaannya untuk mengamalkan agamanya telah dihalang melalui sekatan atau larangan pengimportan bahan pendidikan.
Selain itu, Presiden Badan Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, penjelasan penuh perlu diberikan berkaitan dengan tindakan tersebut dan mempersoalkan kenapa tidak dimaklumkan kepada masyarakat Islam lain.
Zainul juga memohon penjelasan sama ada Majlis-Majlis Agama Islam Negeri-Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan dan Kedah yang telah diberikan hak oleh mahkamah menjadi sahabat mahkamah dalam kes itu dirujuk sebelum sebarang tindakan diambil kerajaan.
“Selangor umpamanya terdapat undang-undang negeri yang menghalang penggunaan kalimah-kalimah tertentu termasuk Allah yang telah diluluskan oleh Dewan Negeri Selangor dan diperkenan oleh Sultan Selangor.
“Sebagai Ketua Agama Negeri yang termaktub di dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan dan kuasa budi bicara sebagai Ketua Agama Negeri di dalam Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan, penarikan balik secara unilateral ini telah menjejas kuasa Sultan Selangor khususnya,” katanya.
Pada 10 Mac 2021, Hakim Nor Bee Ariffin yang kini merupakan Hakim Mahkamah Rayuan memutuskan kalimah Allah boleh digunakan dalam penerbitan bahan agama Kristian bagi tujuan pembelajaran namun tertakluk pada syarat-syarat tertentu.
Dalam pada itu, Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) membantah keputusan berkenaan sambil menyifatkan kebenaran menggunakan kalimah Allah boleh digunakan oleh mana-mana bukan Islam secara bebas yang dikhuatiri akan mengelirukan umat Islam khususnya generasi anak muda.
Timbalan Pengerusinya, Dr Kamaruzaman Yusof berkata, keputusan tersebut seolah-olah menjatuhkan kredibiliti pihak-pihak berkepentingan yang bertanggungjawab dalam urusan hal ehwal Islam seperti Majlis Raja-Raja Melayu, Majlis Agama Islam negeri-negeri dan pelbagai institusi lain dalam negara ini.
Sekiranya tiada penegasan daripada pihak berautoriti, dibimbangi akan ada kelompok yang akan bertindak ekstrem dan boleh mewujudkan perasaan tidak senang, tidak selamat, dan menggugat keharmonian serta kesejahteraan hubungan antara kaum. – nasionalkini.my


