Iskandar Zulkarnain
KUALA LUMPUR, 15 Mei – Sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023, penganjur hari ini menerima tajaan berjumlah RM250,000 daripada 19 organisasi.
Antara penaja adalah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Majlis Rekabentuk Malaysia (MRM), Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad, Public Bank dan Malaysia Palm Oil Green Conservation Foundation (MPPGCF).
Cek tajaan telah diterima oleh Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dalam Majlis Prapelancaran HAWANA 2023 di Wisma Bernama, hari ini.
Yang turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha, (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) KKD, Mastura Ahmad Mustafa, Ketua Pegawai Eksekutif BERNAMA, Roslan Ariffin dan tokoh wartawan, Tan Sri Johan Jaaffar.
HAWANA 2023 bertemakan ‘Media Bebas, Tunjang Demokrasi’ akan dilangsungkan pada 27 hingga 29 Mei ini di Ipoh, Perak.
Majlis yang mula dijalankan pada tahun 2018 itu bakal dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai HAWANA sempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939 bagi meraikan sumbangan para pemain industri media di negara ini.
Dalam pada itu, Fahmi mengucap terima kasih kepada rakan penaja yang telah menyumbang dalam memastikan kelancaran HAWANA 2023.
Katanya, HAWANA kali ini mencatatkan sejarah tersendiri apabila bakal dihadiri kira-kira 1,000 pengamal media dari luar dan juga dalam negara.- nasionalkini.my