Oleh Luth Adwa
ISKANDAR PUTERI 22 Jun – Johor merupakan negeri contoh daripada segi pelaksanaan prestasi tertinggi dalam negara apabila sebanyak 98 peratus projek pelaburan asing di negeri berjaya direalisasikan.
Pencapaian itu diperoleh hasil kerjasama baik antara Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan kerajaan negeri.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, pihaknya komited bekerjasama dengan Johor bagi menjayakan pelaburan terutama dalam sektor sumber tenaga boleh diperbaharui, petrokimia serta elektrik dan elektronik.
“Bukan sahaja menunjukkan momentum pelaburan yang positif, Johor juga semakin kukuh dalam beberapa sektor utama.
“Daripada sudut nilai eksport antarabangsa bermula Januari hingga April tahun ini, Johor menduduki tempat pertama dengan sebanyak 30 peratus dari negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Penyelarasan Industri (JBI) Johor 2023 di Kota Iskandar di sini, hari ini.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, Johor diyakini dapat mengekalkan kedudukan sebagai negeri yang merekodkan jumlah pelaburan asing tertinggi dalam negara buat tahun kedua berturut-turut.
Lebih membanggakan pencapaian itu berjaya dikekalkan bagi tahun kedua berturut-turut.
“Pada 2022, kita berjaya merekodkan pelaburan asing sebanyak RM70.6 bilion, tertinggi di Malaysia.
“Bagi nilai eksport antarabangsa antara Januari hingga April, kita merekodkan sejumlah RM247.59 juta, iaitu kedudukan pertama berbanding kedudukan ketiga dalam tempoh sama tahun lalu.
“Kejayaan ini dapat direalisasi melalui kerjasama erat antara agensi pusat dan negeri. Jadi kita dah pendekkan tempoh bagi memulakan perniagaan daripada lebih enam bulan kepada kurang daripada tiga bulan,” ujarnya. – nasionalkini.my