in

Jangan lupus sendiri Al-Quran lama, rosak

Sebahagian Al-Quran lama dan rosak yang berjaya dikumpul melalui program Jom Exchange Al-Quran anjuran KDN di Masjid As Syarif dekat Taman Tas, Kuantan

Oleh Arman Dhani Zafir

KUANTAN, 13 Mei – Pelupusan Al-Quran lama tidak seharusnya dilakukan sendiri malahan menghantar kepada pihak yang bertauliah dalam melakukan proses tersebut.

Pengarah Kementerian Dalam Negeri (KDN) Pahang, Syolahuddin Noor Azmi berkata, perkara tersebut dikhuatiri proses yang dilakukan dengan cara yang tidak betul.

Menurutnya, setakat ini pihaknya berjaya mengumpul kira-kira 6,000 naskah Al-Quran lama dan rosak serta tidak mempunyai perakuan KDN untuk dilupuskan.

“Terdapat segelintir pihak menghantar abu Al-Quran yang sudah dilupuskan sendiri ke Program Jom Exchange Al-Quran yang dilaksanakan pihak KDN.

“Ini merupakan kali pertama pihaknya menerima abu Al-Quran sejak progaram terbabit dilaksanakan bermula April lalu.

“Jadi kami ingin menasihati orang ramai supaya tidak melupuskan sendiri Al-Quran sebaliknya menghantar naskah yang rosak dan lama kepada pihak bertauliah untuk dilupuskan kerana kita perlu mengikut cara yang betul,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Program Jom Exchange Al-Quran, di Masjid As Syarif, dekat Taman TAs, di sini.

Program berkenaan bertujuan menggalakkan orang ramai agar menggunakan naskah Al-Quran yang diluluskan pihak kementerian.

Dalam pada itu, Syolahuddin berkata, pihaknya yakin dapat membantu masyarakat melupuskan Al-Quran yang rosak mengikut tatacara ditetapkan.

Jelasnya lagi, KDN juga bertindak memberikan maklumat berkaitan peranan mereka terutamanya dalam memastikan setiap naskah Al-Quran yang digunakan adalah mematuhi peraturan.

Sementara itu, Pengerusi Masjid As Syarif, Saad Badrul berkata, pihaknya turut mencadangkan supaya KDN dan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) mewujudkan pusat pengumpulan Al-Quran lama dan rosak di masjid-majid untuk memudahkan orang ramai.

“Kalau boleh kita sediakan tempat menyimpan Al-Quran yang dihantar orang ramai di masjid dan pihak berwajib boleh datang mengambilnya mungkin sebulan sekali,” katanya. – nasionalkini.my

IMG 20230513 WA0009

Suhaimi dinobat Tokoh Guru Setiu 2023

2193878

200 hektar hutan terbakar dekat Jalan Pekan-Nenasi