Oleh Luth Adwa
JOHOR BAHRU, 23 Jun – Perbincangan isu tanah adat masyarakat Orang Asli di negeri ini diwartakan Tanah Kesultanan diadakan secara meja bulat bagi mengelak ada pihak mengambil kesempatan selain berlaku provokasi.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri, Datuk Zahari Sarip berkata, perbincangan dibuat secara teliti antara kerajaan negeri dan wakil masyarakat golongan berkenaan.
“Ia dibuat secara meja bulat dan bukan secara terbuka melibatkan pihak berkepentingan.
“Kerajaan negeri masih dalam proses perbincangan dengan masyarakat Orang Asli dan kita berharap perkara ini selesai dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Johor Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Fest 2023 di Aeon Bukit Indah di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Zahari menjelaskan, pihaknya meninjau projek pertanian dijalankan masyarakat Orang Asli di Kampung Orang Asli Sayong Pinang, Kota Tinggi yang diwartakan sebagai Tanah Kesultanan.
“Saya sendiri dibawa meninjau ke satu kawasan yang telah diwartakan sebagai Tanah Kesultanan di Kampung Sayong Pinang. Tanah itu diusahakan dengan tanaman sawit dan getah oleh Orang Asli, jadi tiada isu sebenarnya,” katanya.
Pada 8 Mei lalu, lebih 200 Orang Asli negeri ini berhimpun dan berarak secara aman di Bangunan Dato Jaafar Muhammad, Kota Iskandar, Iskandar Puteri, yang menempatkan Kompleks Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor bagi membantah cadangan menjadikan tanah adat Orang Asli sebagai Tanah Kesultana,
Terdahulu, ada 25 Mac lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mencadangkan agar tanah Orang Asli di negeri ini dikategorikan sebagai Tanah Kesultanan bertujuan memastikan tanah-tanah tersebut menjadi lebih terbela di bawah enakmen yang tersedia. – nasionalkini.my