KUALA LUMPUR, 7 Ogos – Menteri Komunikasi dan Digital memberi jaminan untuk menyediakan perkhidmatan Internet jalur lebar dengan harga yang lebih murah mulai September depan.
Fahmi Fadzil berkata, perkara itu, selaras dengan pelaksanaan Standard Mandatori Mengenai Harga Capaian (MSAP), yang menyaksikan harga borong Internet dikurangkan dan menjadi lebih murah.
“Untuk memastikan rakyat mampu menikmati perkhidmatan Internet yang terbaik, banyak perkara telah kerajaan usahakan termasuk Internet prabayar yang lebih murah. Dulu RM10 sekarang RM5, malah Internet jalur lebar juga lebih murah,” katanya.
Beliau berkata demikian ditemui pada program ceramah Mega Perdana di Dewan Undangan Negeri Bukit Antarabangsa, di Ukay Perdana , malam tadi.
11 Julai lalu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata pengurangan harga runcit bagi perkhidmatan jalur lebar tetap berdasarkan MSAP hanya boleh dilaksanakan selepas perjanjian akses dimeterai antara pembekal perkhidmatan.
MCMC berkata buat masa ini, kebanyakan pembekal akses telah atau sedang dalam proses penerbitan Tawaran Akses Rujukan (RAO).
Kerajaan telah melancarkan Pakej Perpaduan Jalur Lebar Tetap pada Februari lalu yang bertujuan membantu golongan B40, veteran, Orang Kurang Upaya dan warga tua. Pakej ini disertai dengan kontrak langganan selama 24 bulan dan berharga RM69 sebulan, menyediakan kelajuan internet sehingga 30Mbps dengan data tanpa had. – nasionalkini.my