in

Bimbang tiap kali hujan, ibu tunggal rayu baiki bumbung bocor

IMG 20230625 WA0029
Norhayati Zainal bersama anaknya, Muhammad Aizat. Hasrul di depan rumahnya di Kampung Saujana, Setiu, Terengganu.

Oleh : Adnan Mohamad

SETIU, 25 Jun – “Setiap kali hujan, saya tidak dapat tidur dengan sempurna akibat air hujan yang turun melalui atap- atap yang bocor di bilik tidur saya akan membasahi pakaian serta tilam tidur saya.”

Itu luahan ibu tunggal, Norhayati Zainal, 36, ketika menceritakan keadaan rumahnya ketika ditemui di Kampung Saujana, di sini, semalam.

Norhayati yang baharu kehilangan suaminya, Zunairi Mohd Sulong dua minggu lalu itu berkata, selain air hujan dari atap yang bocor itu dia juga turut terkena tempias air terutama pada musim hujan melalui papan dinding rumahnya yang hampir reput.

“Sebelum ini, atap rumah saya tidak bocor sebegitu tetapi sejak beberapa tahun lalu atap rumah saya semakin teruk dan boleh dikatakan bocor di merata tempat sehingga situasi keluarga kami berada dalam keadaan cemas setiap kali musim hujan,” katanya.

IMG 20230625 153813
Norhayati Zainal

Kediaman itu yang buruk serta usang hanya menunggu masa untuk roboh itu didiami Norhayati bersama Arwah suami dan dua orang anaknya sejak 15 tahun lalu .

Dua anaknya iaitu Afiq Haikal, 15, dan Muhammad Aizat Hasrul, 13, kini sedang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saujana

Norhayati yang sedang mengandung lima bulan berkata, rumah tersebut adalah peninggalan arwah ibunya dan tempat memasak terletak di dalam bilik tidurnya manakala tempat tidur dua orang anaknya di ruang tamu.

“Semasa arwah suami saya ada, sememangnya saya bercadang untuk membaiki rumahnya termasuk menukar beberapa keping atap yang bocor.

“Tetapi apa kan daya, pekerjaan suami saya nelayan memperolehi pendapatan yang tidak menentu dan jika ada wang pun hanya sekadar untuk perbelanjaan harian kami sekeluarga dan belanja persekolahan dua orang anak,” katanya lagi.

IMG 20230625 WA0028
Dapur memasak Norhayati terpaksa ditempatkan di dalam bilik tidur akibat kesempitan rumah

Sebelum ini, menurut Norhayati, dia pernah mengadu masalah rumahnya kepada bebeberapa pemimpin masyarakat di kampung itu tetapi setakat ini belum berhasil lagi.

“Saya tidak tahu siapa lagi tempat mengadu tentang rumah saya ini melainkan kepada Allah dan setiap malam saya sentiasa berdoa semoga ada pihak-pihak tertentu yang bersimpati dengan nasib keluarga kami,” ujarnya.

Dengan keadaan rumah yang sempit dan tidak sempurna, kesangsaraan hidup Norhayati mungkin bertambah parah lagi apabila dia dijangka bersalin pada Oktober depan dan ketika itu biasanya musim hujan

“Bayangkan dengan keadaan rumah seperti ini, saya tidak tahu hendak meletak di ruang mana bayi saya bakal dilahirkan nanti kerana atap rumah saya boleh dikatakan semua bocor dan reput,” ujarnya lagi. – nasionalkini.my

IMG 20230625 WA0021

Gurindam Nurani hasil bait-bait puitis gurindam, syair

IMG 20230625 160154

Reman anak kapak ibu di Muar dilanjutkan seminggu lagi