JAKARTA, 18 Mei – Pihak berkuasa Indonesia menahan seorang menteri kanan semalam, kerana disyaki terbabit dalam kes rasuah projek telekomunikasi mengakibatkan kerugian berjumlah separuh bilion dolar.
Menteri Komunikasi dan Teknologi Maklumat Indonesia, Johnny Gerard Plate, dilihat berjaket merah jambu yang kebiasaannya dipakai suspek kes rasuah, ketika disoal siasat selama beberapa jam di Pejabat Peguam Negara (AGO), sebelum dibawa ke pusat tahanan di Jakarta.
“Berdasarkan siasatan hari ini (semalam), kami simpulkan terdapat bukti mencukupi menunjukkan beliau terbabit dalam kes rasuah stesen pangkalan pemancar (BTS),” kata pengarah siasatan jenayah luar biasa di AGO, Kuntadi, dipetik dari AFP.
Projek BTS diketuai sebuah agensi di bawah Kementerian Teknologi Maklumat dan Komunikasi Indonesia, bermatlamat untuk menyediakan akses internet 4G di kawasan pedalaman di seluruh Indonesia.
AGO tidak memperincikan mengenai peranan Plate dalam kes itu atau jumlah wang yang diperoleh kerana siasatan masih berjalan.
Namun Kuntadi memaklumkan salah laku itu menyebabkan kerugian keseluruhan berjumlah AS$540 juta (RM2.44 bilion).
Kes itu bermula selepas AGO mengesan perkara mencurigakan dalam proses perolehan membabitkan syarikat tempatan dan luar negara, dengan sebelum ini menamakan lima suspek lain dalam kes itu, termasuk seorang eksekutif di anak syarikat Huawei.
“Ini adalah kes yang amat strategik. Ini adalah program kerajaan untuk ramai rakyat di kawasan pedalaman, dan amat memerlukan (infrastruktur BTS),” kata jurucakap AGO, Ketut Sumedana.
Jika disabit kesalahan, Plate boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun mengikut undang-undang antirasuah Indonesia.
Sebelum ini, Indonesia pernah menahan sejumlah pegawai awam terbabit rasuah.
Antaranya pada 2021 di mana seorang bekas menteri hal ehwal sosial dipenjara 12 tahun selepas didapati bersalah menerima rasuah AS$1.2 juta (RM5.4 juta), berkait dengan program bantuan makanan untuk keluarga miskin ketika pandemik COVID-19. – nasionalkini.my