KUALA LUMPUR, 22 Jun – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat tiba di Kota Suci Madinah, Arab Saudi, semalam.
Menerusi hantaran di laman sosial Facebook Istana Negara, pesawat khas membawa Seri Paduka berdua dan delegasi selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Abdulaziz pada 4 petang waktu tempatan – 9 malam waktu Malaysia.
“Keberangkatan tiba Seri Paduka berdua diiringi Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dan paduka-paduka anakanda disambut Gabenor Madinah Yang Amat Mulia Putera Faisal bin Salman Al Saud,” menurut hantaran itu, hari ini.
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah dijadual berada di Madinah dan Makkah hingga 1 Julai bagi menunaikan ibadah haji.
Kerajaan Arab Saudi mengumumkan hari Wukuf yang juga kemuncak haji adalah pada Selasa, 27 Jun, manakala Hari Raya Aidiladha disambut pada Rabu, 28 Jun.
Umat Islam di Malaysia pula akan menyambut Aidiladha pada 29 Jun. – nasionalkini.my
BERITA BERKAITAN