OLEH AD Zafir
KUANTAN, 10 Julai -Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah meminta rakyat supaya sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga apabila beriadah ke kawasan baharu.
Al-Sultan Abdullah bertitah, kejadian bencana alam seperti kepala air itu boleh berlaku di mana sekali pun.
“Dengan itu, saya nasihatkan orang ramai agar mengambil langkah berjaga-jaga apabila mengunjungi kawasan yang bukan kebiasaan.
“Saya harap berhati-hatilah lain kali, kalau hendak pergi tempat yang kita tidak kenal tempatnya, elok ambil periksa dahulu sebelum bawa keluarga ke tempat baharu. Ya.. itulah peringatan saya.
“Dalam pada itu juga, orang ramai juga tidak perlu menyalahkan mana-mana pihak berkaitan kejadian kepala air yang berlaku itu,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika berangkat bercemar duli melawat waris mangsa tragedi kepala air Jeram Mawar, Kemaman di Masjid Ubbudiah Felda Lepar Hilir 3, di sini, hari ini.
Keberangkatan tiba Al-Sultan Abdullah ke Masjid Ubbudiah Felda Lepar Hilir 3 itu disambut ahli keluarga mangsa iaitu ibu, bapa dan adik beradik Azizah Eiyi, 40, serta adik beradik Karim Abdullah, 39.
Baginda turut mengurniakan sumbangan kepada waris mangsa selepas berkenan bersama-sama di dalam majlis tahlil yang diadakan.
Dianggarkan sekitar 300 penduduk Felda Lepar Hilir 3 turut serta dalam majlis berkenaan.
Terdahulu, pada 4 Julai lalu, tujuh jenazah iaitu Azizah, Karim, dan lima anak mereka iaitu Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11, Putri Nurerina Natasya Karim, 10, Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6, Putri Aryana Umaira Karim, 4, dan Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18, selamat dikebumikan dalam satu liang lahad.
Jenazah kelapan, Putri Alleya Maisarah, 16, pula dikebumikan pada 5 Julai manakala mangsa kesembilan Muhammad Fikri Saliman, 24, Sabtu lalu.
Seorang lagi mangsa iaitu Putri Nor Fatin, 14, masih belum ditemui setakat ini. – nasionalkini.my