Oleh Yusuf Shafie
MELAKA, 10 Julai – Dua mayat lelaki bertatu dipercayai mangsa bunuh ditemukan dalam kawasan semak di tepi jalan Kampung Ujong Padang, Cheng, di sini pagi tadi.
Mayat kedua-dua mangsa yang dibungkus dalam dua plastik kanvas berasingan dan berikat itu dijumpai seorang penghantar barang kira-kira pukul 9 pagi tadi sebelum menghubungi polis.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit siasatan awal mendapati, tubuh mangsa pertama dibungkus dalam plastik kanvas yang diikat dengan tali dan cable tie memakai baju T dan seluar jeans pendek.
“Mayat kedua yang juga dibungkus dan berikat tali dijumpai bersebelahannya dan kedua-duanya tidak mempunyai sebarang pengenalan diri.
“Kedua-dua mayat turut dikesan mempunyai tatu dan kita percaya mereka dibunuh ditempat lain sebelum dicampak ke kawasan semak itu, katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh.
“Orang ramai diharap tidak membuat sebarang spekulasi yang dikhuatiri akan menimbulkan kegusaran kepada masyarakat.
“Mereka yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi pegawai penyiasat ASP Muhather Abd Kudus di talian 013- 2884878,” katanya.
Sementara itu, tinjauan Nasionalkini di lokasi kejadian mendapati, ia menjadi tempat pembuangan sampah haram di kawasan simpang tiga di dalam kampung yang menjadi laluan kenderaan ringan. – nasionalkini.my