in

4 menu ‘air tangan’ Permaisuri untuk penduduk Lahad Datu

Gambar oleh Bernama

LAHAD DATU, 5 September – Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini berkenan menyediakan empat menu ‘air tangan’ baginda iaitu ikan bilis masak kicap, ikan bilis masak asam, udang berlada dan bubur lambuk untuk penduduk daerah ini.

Baginda memasak juadah itu bagi Majlis Santapan Bersama Rakyat sempena Kembara Kenali Borneo di luar pekarangan Dewan Perdana di sini yang menjadi tumpuan ratusan penduduk sekitar kerana ingin menyaksikan sendiri kepakaran Tunku Azizah yang amat dikenali dalam bidang masakan.

“Bilis banyak di sini, jadi saya masak menu ikan bilis masak kicap dan sedikit ikan bilis masak asam,” titah Tunku Azizah sambil tangan baginda lincah memotong bawang putih, bawang besar dan lada merah.

Tunku Azizah, yang menyediakan masakan itu dengan bantuan petugas Istana Negara dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita), juga berkenan memeriksa penyediaan bubur lambuk malah menyukat serta memasukkan sendiri rempah ratus yang diperlukan dalam masakan yang dihidangkan kepada tetamu serta orang ramai yang hadir.

Timbalan Pengerusi Puspanita Lahad Datu, Mahasitah Amin berkata peluang membantu Raja Permaisuri Agong memasak adalah sesuatu yang tidak datang selalu dan mungkin sekali seumur hidup.

“Teruja tidak dapat digambarkan mendapat perkhabaran Puspanita membantu Raja Permaisuri Agong,.

“Ahli Puspanita lain turut gementar dan mula membuat persiapan sejak semalam lagi. Kita juga bekerjasama dengan istana dan kita menyediakan segala bahan seada dan semampunya demi Tuanku Permaisuri,” katanya kepada Bernama.- nasionalkini.my

TNB taja program tanam pokok sejak 2009

Carlton Inn bukan hanya sekadar hotel bajet