KUALA LUMPUR, 5 Ogos – Ketiadaan dokumen diri sejak dilahirkan menyebabkan seorang lelaki hadapi kesukaran meneruskan kehidupan seperti warganegara lain.
Meskipun dilahirkan di negara ini namun disebabkan kesilapan orang tua yang lewat mendaftar kelahirannya selain tiada kesedaran menyebabkan Gusharika Suparman kini menerima padahnya.
Kini, anak muda berusia 27 tahun ini berdepan kesukaran mendapatkan pekerjaan tetap dan mencari nafkah dengan membantu rakan menjual air.
Malah akui pemuda ini kehidupan seperti pelarian selama 27 tahun dan sentiasa berada ketakutan sepanjang masa.

“Ketika ini saya berdepan kesukaran mendapat kerja sebab tiada kad pengenalan dan untuk mohon lesen kenderaan pun payah. Begitu juga untuk urusan buka akaun bank.
“Sejak itu, sudah tiga kali isi borang Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk mohon pendaftaran dokumen diri namun sehingga kini masih belum berjaya,” ujarnya kepada nasionalkini.my
Situasi yang dialami membuatkan dia lebih berjaga-jaga ketika berada diluar rumah berikutan tanggungjawabnya kini semakin berada apabila perlu memberikan perhatian kepada kakaknya yang terlantar selepas mengalami kemalangan pada 2019.
“Jika dahulu saya mohon kad pengenalan untuk mendapatkan perjalanan hidup yang lebih baik namun kini keutamaan saya adalah kepada menguruskan kakak yang terlantar sakit.
” Jika apa-apa berlaku kepada saya, siapa yang akan uruskannya bersama dua anak yang masih kecil.,” katanya.
Katanya sebelum ini beberapa kali ditahan polis namun apabila menjelaskan perkara sebenar dia bernasib baik apabila dilepaskan.
Namun katanya dia tidak pasti nasib sendiri pada masa akan dating.
Dia juga berharap permohonan dokumen diri itu dapat dipermudahkan bagi membolehkannya menikmati manfaat dan kemudahan seperti warganegara lain.