in ,

Demi AMY 1 sanggup bayar ratusan ribu ringgit

341070924 906083714012455 8007885010194401970 n

Ahmad Abd Hamid

MEMBIDA nombor pendaftaran kereta pada harga sehingga RM400,000? Tinggi sungguh bidaan ini sehingga melebihi harga kereta mewah. Mungkin ia bidaan tertinggi pernah dicatatkan di negara ini. Jika tidak pun tentu antara yang tertinggi.

Mungkin bagi ramai orang akan terkedu mendengar bidaan sebegitu mahal. Jika mampu pun, tidak sayang duitkah berbelanja begitu tinggi demi satu nombor pendaftaran kereta? Jangan pula kereta yang bakal didaftar dengan nombor itu kelak lebih rendah harganya daripada harga nombor.

Percaya atau tidak itulah realitinya yang disahkan sendiri oleh Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak, Mohammad Yusoff Abustan. Bidaan ini adalah untuk pendaftaran nombor kereta AMY 1, yang mengatasi bidaan nombor siri AMG sebelum ini. Beliau menyebut tidak harga bidaan AMG itu.

Memang cantik nombor AMY 1. Sedap bunyinya apabila disebut. Maksudnya pun dalam, boleh ditakrifkan sebagai ‘hanya Amy seorang’, atau ‘Amy satu-satunya’. Atau bagi pembida, mungkin ada takrif lain.

Kerana itu nombor siri AMY dari satu hingga sembilan menerima bidaan tinggi melebihi RM80,000, termasuk yang akhirnya membida AMY 1 dengan harga RM400,000. Nampaknya ramai orang berduit yang tidak sayang membelanjakannya semata-mata untuk mendapatkan nombor berkenan di hati.

Bagi orang ramai mungkin berfikir kenapa sanggup berbelanja begitu banyak. Kenapa tidak gunakan sahaja wang tersebut untuk membeli sebuah kereta mewah lain. Malah jika digunakan wang itu membeli kereta berharga sederhana, beberapa buah biji boleh dibeli!

Mungkin sahaja pembidanya orang yang bernama Amy. Atau mungkin juga seseorang yang isterinya bernama Amy, atau mungkin juga buah hati. Sedia berkorban begitu banyak wang asalkan dapat memiliki nombor pendaftaran tersebut.

Selain tidak diketahui identiti pembida, juga tidak kereta jenis apa yang akan menggunakan nombor tersebut. Bidaan tertinggi untuk AMY 1 ini diumumkan oleh Mohammad Yusoff pada perasmian Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Aidilfitri di Mydin Meru Mall, Ipoh, pada 18 April.

Program dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Insfrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin.

Sebelum ini tempahan nombor kereta seluruh negara boleh dibuat sendiri di pejabat JPJ. Harga tempahan biasanya dalam lingkungan ratusan ringgit atau ada yang mencecah ribu. Jika nombor yang dianggap istimewa atau menjadi rebutan ramai, harga tempahan lebih tinggi. Mungkin inilah situasinya dengan AMY 1.

Kini bidaan atau tempahan secara online. Pembida boleh bersaing antara satu sama lain bagi sesuatu nombor yang dikehendaki. Ini berlarutan sehingga mencecah suatu angka tertentu dan tidak ada lagi pembida lain mahu menandingi harga. Maka pembida terakhir akan dikunci sebagai pemenang.

Bidaan mencecah ratusan ribu ringgit sekarang pasti memberi pendapatan lumayan kepada JPJ. Bagi nombor siri AMY ini dari satu hingga sembilan, JPJ berjaya memperoleh kutipan melebihi enam juta ringgit.

Sebelum ini nombor pendaftaran AKU 8055 juga dilapor menerima bidaan tinggi. Ini kerana sekali pandang ia seperti bermaksud AKU BOSS. Nombor ini dibida pada harga RM207,898.90.

Dalam kes AMY 1 ini, dan dari dua hingga sembilan, tidak semestinya pembida adalah rakyat Perak. Mungkin di antara mereka dari negeri lain yang mahu menggunakan nombor pendaftaran Perak lantaran tertarik dengan huruf AMY. Begitu juga dengan nombor pendaftaran Perak yang lain.

Bagaimana dengan anda? Adakah suka membida atau terima sahaja apa nombor pendaftaran berdasarkan senarai yang ada atau running number? Lebih penting, sediakah berbelanja ratusan ribu ringgit semata-mata untuk satu nombor? – nasionalkini.my

WhatsApp Image 2023 04 19 at 09.39.26

Suami sendiri tangkap isteri sembunyi kekasihnya dibawah katil

6283484f088e6

Hadkan aktiviti fizikal, elak terdedah jerebu, cuaca panas