KOTA BHARU, 9 Ogos – Seorang peniaga bertindak membuka markas Pakatan Harapan (PH) di pekarangan kediaman Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, Cabang empat Kampung Panchor, semalam.
Tindakan Muhamad Fekri Muhamad Yusoff, 62, yang juga adalah sepupu kepada Mohd Amar yang juga calon PAS bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Panchor dibuat berikutan tidak puas hati dengan kepimpina PAS hari ini.
“Saya buka markas ini di atas lot tanah yang sama dengan kediaman Mohd Amar tanpa paksaan sesiapa. Mohd Amar adalah sepupu saya, manakala Syed Mohd Alidustur, calon PH juga saudara saya. Ini dikira tanah ahli keluarga saya juga.
“Sejak lahir sehingga sekarang, ini kali pertama markas parti lain dibuka di kawasan ini kerana tempat ini terkenal dengan kubu PAS sejak dahulu.
“Tujuan saya berbuat sedemikian kerana tidak berpuas hari terhadap kepemimpinan PAS yang sekarang.
“PAS yang kini bukan lagi PAS yang dulu ketika pemerintahan Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat.
“Pemimpin sekarang hanya menggunakan nama Allahyarham sedangkan tindakan mereka adalah tidak selari,” katanya. – nasionalkini.my