KUANTAN, 2 Disember – Timbalan Ketua BERSATU Pahang, Mohd Yazid Mohd Yunus percaya parti itu masih memerlukan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk kekal sebagai Presiden.
Katanya, keputusan sebulat suara oleh Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU sudah cukup untuk menggambarkan bahawa Muhyiddin terus mendapat kepercayaan semua pimpinan BERSATU dalam hal ini.
“MPT dan semua perwakilan sudah menyatakan pendirian mereka dalam perkara berkenaan.
“Kami harap Tan Sri dapat terus memimpin BERSATU sebagai sebuah parti yang dihormati kawan dan lawan,” katanya.
Mohd Yazid yang juga ADUN Lepar berpandangan sebarang keputusan dibuat pimpinan parti dalam menentukan hala tuju parti, perlu dihormati oleh semua pihak.
Katanya, sebagai parti baru, Muhyiddin sudah berjaya menjadikan BERSATU sebagai sebuah parti yang mempunyai sokongan bukan saja daripada orang Melayu, tapi menjadi pilihan bangsa lain.— nasionalkini.my