KUANTAN, 3 Jun – Tindakan Menteri Perdagangan, Pelaburan dan Industri, Tengku Zafrul Tengku Aziz membandingkan isu penjualan saham MAHB kepada BlackRock dengan penggunaan peralatan jenama Apple adalah sangat mengelirukan.
Ini kerana isu membabitkan BlackRock dan Apple adalah dua perkara berlainan.
Ketua Perikatan Nasional (PN) Cameron Highlands, Dr Abdul Rasid Md Ali berkata, sebagai antara menteri Kabinet yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal pelaburan, Tengku Zafrul sepatutnya lebih cermat dan berhati-hati dalam mengulas hal berkenaan.
“Sebab itu saya selalu tekankan kepentingan mempunyai Tabung Jihad… ia akan dapat mengelak daripada syarikat luar membeli saham strategik dalam negara.
“Tapi apabila Tengku Zafrul membandingkan MAHB dan Apple, saya fikir ia adalah mengelirukan dan mengecewakan.
“Sewajarnya dia mempertahankan sebarang usaha menjual saham dalam aset penting negara kepada pelabur asing yang dilihat cenderung menyokong Zionis,” katanya.
Sebelum ini, Tengku Zafrul mempersoalkan tindakan pihak tertentu yang mahu proses penjualan saham MAHB kepada BlackRock disemak semula.
Tengku Zafrul dilaporkan berkata BlackRock adalah pemegang saham terbesar Apple namun adakah rakyat Malaysia ‘menjauhinya’.
“Semua yang memiliki [produk] Apple, jika anda benar-benar menentang, anda tidak sepatutnya menggunakannya.
“Siapa pemegang saham terbesar WhatsApp? Siapa pemegang saham terbesar Facebook?
“Jadi, di mana kita nak putuskan garis pemisah? Dalam dasar, di mana kita gariskannya?” katanya.
Dalam masa sama, Dr Abdul Rasid turut mempersoalkan keperluan menjual saham MAHB sedangkan syarikat itu bukanlah satu syarikat bermasalah.
Katanya, tindakan mengizinkan syarikat luar memiliki saham dalam syarikat tempatan seolah-olah menggambarkan kita tidak mempunyai jati diri.
“Saya melihat perkara ini sebagai satu ‘kecuaian’ dalam menilai risiko perniagaan.
“Oleh itu, saya nasihatkan kepada mereka yang rapat dengan PMX (Datuk Seri Anwar Ibrahim) boleh ‘membisikkan’ perkara ini.
“Jangan biarkan (penjualan saham MAHB) berlaku kerana kita bimbang kesan jangka panjang yang bakal negara tanggung,” ujarnya. – nasionalkini.my