JERANTUT, 11 Ogos – Sebanyak 208 permohonan sijil lahir dan kad pengenalan di dua perkampungan Orang Asli di Jerantut berjaya diproses selepas Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) membuka kaunter di kawasan berkenaan, baru-baru ini.
Program anjuran Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) itu melibatkan proses menerima gantian kad pengenalan, pendaftaran lewat kelahiran, sijil kelahiran dan MyKad baharu.
Timbalan Pengarah JAKOA Pahang, Ahmad Marzuki Salleh berkata, menerusi program tersebut komuniti Orang Asli di Kampung Kuala Atok dan Kampung Sungai Tekal didedahkan kepentingan memiliki sijil kelahiran dan kad pengenalan.
Program selama dua hari ini mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat Orang Asli selepas JPN menerima 208 permohonan yang melepasi sasaran 80 permohonan di peringkat awalnya.
“Kesanggupan mereka hadir membuktikan kesedaran tinggi untuk memiliki dokumen pengenalan diri selain bagi membantu proses menyalurkan bantuan, memohon lesen motorsikal, keluar bekerja dan sebagainya,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, Ahmad Marzuki berkata, program sama akan diteruskan pada masa hadapan bagi membantu memudahkan Masyarakat Orang Asli mendapatkan dokumen diri.
Program Transformasi Minda Insan Sub Aktiviti Program Kecemerlangan Akademik dan Sahsiah Diri daerah Jerantut turut mendapat sokongan daripada pelbagai agensi antaranya Majlis Keselamatan Negara, Pejabat Pendidikan Daerah, Pejabat Daerah Jerantut, SK Merting serta pertubuhan bukan kerajaan, Yayasan RYTHM.
Sementara itu Ketua Yayasan RYTHM, Santhi Periasamy berkata, pihaknya terlibat dengan kerja-kerja kemasyarakatan di kampung Kuala Atok dengan menyediakan pendidikan asas kepad aanak-anak orang asli.
“Sejak tahun lepas, Yayasan RYTHM telah menjayakan ‘Sekulah Bateq’ di Kampung Kuala Atok dengan menyediakan kelas asas kepada lebih 40 pelajar di kampung ini.
“Kita juga memantapkan lagi pengetahuan asas membaca dan berkomunikasi, dengan menyediakan seorang cikgu untuk mengajar kelas tambahan kepada golongan anak-anak komuniti berkenaan.
Dalam pada itu, Tok Batin Kampung Kuala Atok, Hussin Dayak pula melahirkan rasa syukur masalah yang dibebani selama ini berdepan ketiadaan dokumen pengenalan diri akhirnya selesai dengan mudah. – nasionalkini.my