Oleh Hajidah Miharbi
SEPANG, 4 Mei – Sektor Pendidikan Suruhanjaya Diraja Jubail & Yanbu, Arab Saudi menunjukkan minat untuk melaksanakan Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL) di negara pengeluar minyak terbesar di dunia itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, pihak mereka telah melihat beberapa kaedah untuk memberi peluang kepada masyarakat menyambung pengajian di peringkat pendidikan tinggi selain secara konvensional.
Katanya, mereka tertarik dengan laluan pengajian melalui APEL yang dilaksanakan di Malaysia mempelajari kaedah untuk melaksanakannya di Arab Saudi.

“APEL.A (akses ke institusi pendidikan tinggi) dan APEL.C (pemindahan kredit) dilihat mempunyai potensi sangat besar untuk membantu pelajar dan masyarakat di sana terutama bagi tujuan menyambung pengajian selepas tercicir atau tidak berkesempatan mengikut pendidikan secara konvensional di peringkat sekolah menengah.
“Mereka mahu mempelajari pelaksanaan APEL bagi memberi peluang lebih luas kepada rakyat Arab Saudi untuk meningkatkan kelayakan akademik masing-masing melalui laluan alternatif ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat daripada Sektor Pendidikan Suruhanjaya Diraja Jubail & Yanbu, Arab Saudi di Mercu MQA, di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, perhatian dan minat yang ditunjukkan oleh Sektor Pendidikan Suruhanjaya Diraja Jubail & Yanbu merupakan pengiktirafan global terhadap inisiatif MQA dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berkaitan agenda pembelajaran sepanjang hayat (PSH).
Beliau berkata, diharap negara lain juga mengikut jejak Arab Saudi untuk mempelajari seterusnya melaksanakan APEL di negara masing-masing bagi memberi peluang masyarakat bagi meningkatkan kelayakan akademik. – nasionalkini.my