Oleh Yusuf Shafie
MELAKA, 4 MEI – Kerajaan Melaka memberi jaminan tiga empangannya mampu membekalkan air kepada hampir sejuta penduduknya sehingga Ogos ini jika berlaku kemarau panjang susulan ramalan fenomena El Nino bulan depan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, setakat Selasa lalu kesemua tiga empangan negeri iaitu Durian Tunggal, Jus dan Asahan mempunyai paras air 100 peratus untuk membekalkan air ke seluruh negeri.

“Kerajaan negeri telah mengambil langkah awal untuk memastikan semua kawasan-kawasan tadahan air berada pada tahap maksimum dan pada waktu ketika ini semua kolam-kolam tadahan berada dalam keadaan 100 peratus bersedia.
“Walaupun El Nino dijangka melanda dalam tempoh musim kemarau ini kerajaan negeri dengan Syarikat Air Melaka Berhad bersedia untuk menjadualkan bekalan air dan Insya-allah kita boleh bertahan sampai bulan lapan (Ogos),” katanya.
Beliau ditemui media selepas menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu di sini hari ini.
Majlis diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Mohd Ali Mohd Rustam dan ADUN Pengkalan Batu, Datuk Kalsom Noordin.
Mengulas lanjut Ab Rauf berkata, sehingga kelmarin, Empangan Jus dan Asahan masing-masing mencatatkan paras air 100 peratus manakala Empangan Durian Tunggal pada paras 99.7 peratus.

Media hari ini melaporkan gesaan seorang pakar alam sekitar agar kerajaan dan rakyat melakukan persiapan segera bagi menghadapi fenomena El Nino kuat yang diramal bulan depan.
Profesor Madya, Dr. Haliza Abdul Rahman berkata, kerajaan perlu memantau sungai dan empangan, mengaktif pelan tindak balas kecemasan, meneroka sumber air alternatif, menggalakkan penjimatan air, melakukan penghasilan awan serta penyediaan sokongan logistik. – nasionalkini.my