JOHOR BAHRU, 31 Julai – Kira-kira 1,000 kilometer (km) paip usang yang berusia lebih 40 tahun di seluruh negeri ini akan diganti semula dengan peruntukan sebanyak RM935 juta.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata kerja penggantian paip lama itu yang dimulakan sejak tahun lalu dijangka siap sepenuhnya hujung tahun ini.
“Ini adalah fasa pertama dalam program penggantian paip lama di Johor yang menyasarkan penggantian paip pada akhir tahun 2025.
“Alhamdulillah ini adalah satu hala tuju kerajaan negeri Johor untuk pastikan paip-paip lama seluruh negeri ini dapat diganti dengan baharu supaya tiada air terbazir melalui paip pecah dan bocor terutama di bawah tanah yang sudah lama tidak diganti,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohamad Fazli berkata, Kawasan yang kritikal akan dahulukan khususnya di kawasan yang ramai penduduk di kawasan Johor Bahru, Taman Ungku Tun Aminah dan Taman perumahan lama.
“Secara keseluruhan sebanyak 1,000 km paip dapat diganti pada tahun ini, iaitu 20 peratus daripada 6,000 paip yang dijadualkan akan diganti,” katanya lagi.
Sehingga kini Ranhil SAJ menerima hampir 7,000 aduan berhubung kejadian paip bocor setiap bulan. – nasionalkini.my