KUALA LUMPUR, 31 Julai – Polis sedang menjalankan siasatan ke atas dua anggotanya berkaitan kes orang kena tahan (OKT) warga Myanmar meloloskan diri di Jalan Kuching, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 12.50 tengah hari itu, suspek dipercayai dibawa pulang ke Ibu pejabat Polis (IPD) Wangsa Maju selepas selesai permohonan reman di Lokap Berpusat Kuala Lumpur.
Siasatan mendapati tahanan itu melarikan diri dengan cara membuka gari sebelum terjun daripada lori yang membawa sekumpulan OKT ketika kenderaan itu bergerak perlahan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, suspek berjaya ditahan semula di Masjid Medan Idaman Setapak di sini, pada hari sama kira-kira jam 9.20 malam.
“Hasil soal siasat ke atas suspek, kita mendapati OKT ini ada kepakaran untuk membuka gari.
“Siasatan turut dijalankan terhadap anggota kerana kecuaian ketika menjalankan tugas,” katanya seperti dilaporkan BH hari ini.
Shuhaily berkata pihaknya membuka dua kertas siasatan mengikut Seksyen 223 dan 224 Kanun Keseksaan berkaitan kes berkenaan. – nasionalkini.my