Oleh Yusuf Shafie
MELAKA 6 Mei – Ibarat peribahasa ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi, itulah dibuktikan dua sahabat baik yang mahu meneruskan warisan arwah ibu mereka dalam bidang masakan melalui pembukaan sebuah restoran masakan utara.
Ahmad Zul Ariff Ismail, 36 berkata, dia dan rakan baiknya, Kamal Hamidi Ali, 31, sepakat meneruskan ‘kepakaran’ arwah ibunya, Esah Che Man yang dikenali penduduk kampung kerana keunikan resepinya dalam masakan.
Malah, bapa tunggal itu berkata, dia juga bernasib baik kerana kakak dan abang ipar Kamal juga mempunyai pengalaman membuka restoran masakan utara di Sungai Petani, Kedah, sebelum ini.
“Jadi berbekalkan kombinasi resepi ini, kami sepakat untuk cuba mencari rezeki dalam perniagaan makanan menggunakan resepi arwah ibu saya dan Kamal (Mahyon Ibrahim), jadi sedikit sebanyak dapatlah melepaskan rindu kami kepada arwah.
“Kami namakannya Restoran Serambi Emak kerana mahu pelanggan tahu, resepi masakan ibu adalah yang terbaik bagi sesiapa sahaja dan itulah yang cuba kami bawakan kepada pelanggan,” katanya ketika ditemui di sini restorannya itu di Kota Fesyen MITC, di sini.
Tambahnya lagi, sejak dibuka pada Mac lalu, mereka menerima reaksi positif daripada pelanggan dengan kepelbagaian lebih 25 set menu masakan utara, termasuk hidangan lauk pauk yang disediakan.
“Antara hidangan set yang sering mendapat permintaan tinggi pelanggan adalah gulai batang pisang, nasi daging air asam, laksa utara dengan pilihan lauk ikan, sotong atau udang, bihun sup utara dan kari kepala ikan.
“Apa yang penting, semua menu ini menggunakan resepi arwah ibu tanpa penggunaan pes segera dan dimasak dari bahan segar yang dibekalkan setiap hari,” ujarnya sambil menambah perniagaan dibuka setiap hari kecuali Ahad bermula 10 pagi hingga 10 malam.
Ahmad Zul Ariff berkata, dari segi harga, mereka juga akan memastikan ia menepati ciri-ciri harga Rahmah yang sering dicari-cari pelanggan tanpa mengenepikan kualiti setiap sajian.
“Malah, ada juga pelanggan yang terkejut melihat hidangan nasi daging air asam kami walaupun harganya RM15, tapi saiznya besar sehingga ada yang kata boleh makan untuk dua orang yang berdiet.
“InsyaAllah, kami merancang untuk membuka cawangan kedua dalam tempoh tiga tahun termasuk menghasilkan pes sejuk beku untuk resepi tertentu di bawah jenama restoran ini,” katanya. – nasionalkini.my