KUALA LUMPUR, 11 Julai – Artis versatil, Datuk Afdlin Shauki yang baharu dilantik sebagai Ahli Lembaga Penasihat Bandaraya Kuala Lumpur, beriltizam memanfaatkan pengalamannya sebagai anak seni dan ahli perniagaan dalam menjadikan ibu negara sebagai pusat seni.
Katanya, antara peranan yang akan disumbangkan adalah membantu memberi nasihat dan pandangan dalam bidang hiburan seperti pengendalian acara dan konsert serta membabitkan dunia seni warisan budaya sekali gus mampu menjadi tarikan pelancongan negara.
Ketika dihubungi Bernama, beliau mengakui terkejut dengan pelantikan tersebut namun bersyukur apabila anak seni turut diberi pengiktirafan dalam menguruskan tata kelola negara.
“Saya berharap dengan pengalaman ini, dapat membantu memberi maklumat terperinci mengenai industri seni selain memudahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam memahami selok-belok dunia hiburan,” katanya.
Afdlin Shauki merupakan artis pertama dan antara 11 ahli baharu yang dilantik sebagai Ahli Lembaga Penasihat Bandaraya Kuala Lumpur berkuat kuasa 15 Mei lepas, untuk tempoh dua tahun.
Watikah pelantikan tersebut disampaikan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Kamarulzaman Mat Salleh pada 7 Julai lepas
Lembaga Penasihat Bandaraya Kuala Lumpur ditubuhkan bertujuan menasihati Datuk Bandar tentang apa-apa perkara berkaitan dengan pentadbiran bandar raya selaras dengan Akta Ibu Kota Persekutuan 1960. – nasionalkini.my