in

40 menu sentuhan indah di Restoran Seri Hijrah

Restoran Seri Hijrah di Jalan Penjara, Kuantan mula beroperasi pada tahun 2014

RESTORAN Seri Hijrah yang terletak di Jalan Penjara, Kuantan, sudah membina reputasi tersendiri sejak beroperasi pada tahun 2014.

Dengan binaannya yang menarik, bersebelahan Hospital Tengku Ampuan Afzan, bercirikan rumah tradisional Melayu di tengah bandar raya Kuantan, restoran itu bukan sekadar menyediakan menu masakan autentik Pahang semata-mata.

“Kami ingin memberikan pengalaman menjamu selera dalam suasana paling selesa dan meninggalkan kesan kepada pelanggan,” demikian kata Nur Farah Ain Mohd Hassim, anak kepada pemilik restoran berkenaan.

Nur Farah Ain menunjukkan sebahagian menu sarapan pagi disediakan di restoran milik keluarganya

Nur Farah Ain, 31 tahun, memiliki ijazah dalam bidang bioteknologi dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan pernah bekerja di pelbagai syarikat multinasional di ibu negara sebelum mengambil keputusan menumpukan perhatian kepada perniagaan keluarganya itu.

“Kepuasan bekerja makan gaji dan berniaga sangat berbeza, jadi disebabkan itu saya pilih untuk berhijrah ke bidang ini.

“Lagipun, keluarga kami yang berasal dari Lipis memang dari dulu terbabit dalam perniagaan restoran dan katering,” katanya yang juga pandai memasak masakan tradisional Pahang.

Laksa Pahang turut disediakan untuk pelanggan

Ditanya wakil nasionalkini.my mengenai menu disediakan di Restoran Seri Hijrah, Nur Farah Ain berkata, mereka menyediakan lebih 40 jenis hidangan untuk dipilih pelanggan, bermula dari sarapan pagi hingga menu untuk makan tengah hari dan minum petang.

“Untuk sarapan kami sediakan antaranya nasi lemak Seri Hijrah, laksa Pahang, pulut rendang Lipis dan ubi rebus goreng kelapa parut.

“Bagi hidangan makan tengah hari pula, kita ada udang galah masak lemak, kerabu pucuk paku, kulat sisir petai, sambal petai bilis, rendang hitam Seri Hijrah dan sudah tentu ikan patin masak tempoyak,” katanya lagi.

Antara set makan tengah hari yang disediakan untuk pelanggan Restoran Seri Hijrah

Dia turut menjelaskan masakan ikan patin tempoyak disediakan di Restoran Seri Hijrah sedikit berbeza dibandingkan menu sama disediakan di tempat lain.

“Kami gunakan resepi turun temurun keluarga jadi kuah kami sediakan lebih pekat dan pedas berbanding gulai patin tempoyak di Temerloh atau daerah lain di Pahang,” ujar anak bongsu daripada dua beradik itu.

Ada yang mengatakan perbezaan gulai tempoyak patin di Pahang mengikut arus air Sungai Pahang itu sendiri.

“Mungkin ada juga kebenarannya di situ, gulai tempoyak di Lipis pekatnya berbeza dengan gulai tempoyak di daerah hilir sungai Pahang yang lebih cair.

“Tapi saya tidak pastilah benda itu betul atau tidak,” jelas Nur Farah Ain.

Udang galah masak lemak antara menu kesukaan pelanggan

Dia memaklumkan Restoran Seri Hijrah beroperasi dari hari Sabtu hingga Khamis bermula jam 8 pagi hingga 3.30 petang.

Restoran itu juga menyediakan bilik berhawa dingin untuk pelanggan yang ingin menjamu selera dan dalam masa sama mahu mengadakan mesyuarat.

Nur Farah Ain turut berkongsi impiannya untuk membuka dua lagi cawangan restoran itu dalam tempoh tiga tahun akan datang.

“Restoran ini akan menyambut ulang tahun ke-10 pada tahun 2024 dan menjadi impian saya untuk memiliki dua lagi cawangan dalam masa dua atau tiga tahun dari sekarang.

“Prinsip saya apabila menceburi bidang perniagaan makanan ini adalah konsisten, sama ada kita ‘Go big or go home’ jadi kena buat bersungguh-sungguh.

“Mungkin kita akan buka cawangan di KotaSAS dan satu lagi di Lembah Klang bagi memberi peluang kepada lebih ramai peminat masakan tradisional Pahang menikmati menu kesukaan mereka,” katanya.

Ubi rebus goreng juga ditawarkan kepada pelanggan yang ingin mengimbau kembali menu zaman dahulu kala

Selain pelanggan boleh menjamu selera di situ, pihak Restoran Seri Hijrah turut menyediakan perkhidmatan tempahan masakan untuk majlis pertunangan dan perkahwinan.

Mereka yang meminati hidangan tradisional Melayu Pahang boleh mengunjungi laman sosial Facebook https://www.facebook.com/restoranserihijrahkuantan?mibextid=ZbWKwL dan Instagram https://instagram.com/restoranserihijrah?igshid=NTc4MTIwNjQ2YQ== untuk mendapatkan maklumat lanjut.- nasionalkini.my

BERITA BERKAITAN

2271975

Nenek galas tanggungjawab jaga cucu

2272116

Zii Jia pulang awal Terbuka Korea