BATU GAJAH, 19 Julai – Seorang nenek berkorban menggalas tanggungjawab menjaga empat cucunya yang menjadi yatim piatu selepas ibu bapa mereka maut dalam nahas di Kilometer 3.4 Jalan Gopeng-Kota Bharu, minggu lalu.
Sinar Harian melaporkan, Noraini Ahmad, 63, berkata, dia mahu cucunya, Nur Fatin Syafikah Mohd Ramddan, 18; Mohd Ikman Hafifi, 17; Mohd Aiman Daniel dan Nur Fatihah Najihah, 7, dapat membesar dengan baik di depan matanya.
“Saya bersyukur kepada ALLAH kerana dipanjangkan umur, saya perlu kuat supaya dapat menjaga empat cucu ini sebaiknya.
“Mungkin ada hikmah di sebaliknya, kita tidak tahu perancangan ALLAH dan saya bersyukur apabila ramai yang sudi menghulurkan bantuan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menerima bantuan kerusi roda dan ‘walking frame’ daripada Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh di Kampung Serkai Jadi di sini pada Rabu.
Noraini kini berada dalam fasa pemulihan selepas mengalami patah tulang leher dalam kejadian itu.
Pada masa sama, Mohd Ikman Hafifi mengakui amat merindui ibu bapanya dan gambar status WhatsApp menjadi pengubat rindu dia dan adiknya.
“Kadang-kadang bila teringat emak, tengok gambar ini. Gambar ini ambil masa emak dan ayah hantar kakak pergi matrikulasi itu.
Asa kejadian emak ada pesan jaga adik (Mohd Aiman Daniel). Saya ingat pesan itu sampai bila-bila,” katanya.
Sementara itu, ADUN Tronoh, Steven Tiw Tiee Siang berkata, bantuan awal segera diberikan bagi meringankan beban keluarga mangsa. – nasionalkini.my