in

Koperasi Johor rekod aset RM1.35 bilion, perolehan RM715 juta

WhatsApp Image 2023 06 27 at 2.33.46 PM
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Mohd. Hairi Mad Shah (kanan) menyampaikan peruntukan RM1.7 juta sempena Pelancaran Geran Pembangunan Koperasi Johor 2023 di Hotel Amansari, Iskandar Puteri.

Oleh Luth Adwa

ISKANDAR PUTERI, 27 Jun – Sebanyak RM1.35 bilion aset terkumpul menerusi 1,462 koperasi berjaya direkodkan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Johor, tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Mohd. Hairi Mad Shah berkata, sepanjang tahun lalu, koperasi di negeri ini berjaya mencatatkan perolehan RM715 juta.

“Menerusi penghasilan pendapatan ini, banyak keuntungan diagihkan semula untuk manfaat rakyat Johor. Sebanyak RM11.33 juta dividen diisytihar kepada seramai 463,000 anggota koperasi di Johor.

“Selain itu, koperasi di negeri ini juga sudah menyumbang dalam pelbagai tabung khas seperti Tabung Kebajikan, Tabung Khairat Kematian, Tabung Pendidikan dan Tabung Kesihatan di negeri ini melibatkan jumlah RM9.74 juta,” katanya pada Majlis Pelancaran Geran Pembangunan Koperasi Johor di Hotel Amansari di sini.

Mohd. Hairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin berkata, kerajaan negeri komited untuk terus menyokong pembangunan dan perkembangan gerakan koperasi di negeri ini.

“Bagi tahun ini, kerajaan negeri meluluskan peruntukan RM1.7 juta, peningkatan berbanding RM1.5 juta tahun lalu untuk terus menggalakkan pertumbuhan koperasi di negeri ini.

“Daripada jumlah tersebut, RM1.5 juta adalah untuk pelaksanaan Geran Coop Maju Johor 2023 yang menawarkan peruntukan sehingga RM50,000 kepada mana-mana koperasi yang layak.

“Sementara itu, baki RM200,000 bagi menjalankan program ‘Groombig Produk Koperasi’ yang bertujuan untuk meningkatkan kebolehan pasaran produk bagi menembusi pasaran antarabangsa,” katanya. – nasionalkini.my

Kes demam denggi meningkat hampir 8 peratus

356660572 804130231162380 5360172406912661040 n 1

Takziah kepada keluarga anggota TUDM terkorban semasa latihan – Agong, Permaisuri