KOTA MARUDU, 27 Julai – Seorang lelaki warga emas maut selepas jentera berat dikendalikannya jatuh gaung sedalam 80 meter di ladang kelapa sawit Kampung Rosob, Pitas, hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, dalam kejadian 2.30 petang ini, Kok Vui Siong, maut akibat tersepit.
Terdahulu , pihaknya menerima laporan kejadian pada 2.41 petang dan pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu dikejarkan lokasi.
“Kami dimaklumkan kemalangan membabitkan sebuah jentera ketika melakukan kerja pembersihan ladang.
“Terdapat seorang mangsa tersepit berjaya dikeluarkan pasukan bomba dengan bantuan jengkaut,” katanya dalam kenyataan.
Mangsa yang berusia 64 tahun itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. – nasionalkini.my