TEMERLOH, 19 Julai – Sebanyak 10 lokasi banjir telah dikenalpasti di Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) selepas empat kejadian bencana berkenaan berlaku di kawasan itu sejak ia dibuka pada 2004.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, 10 lokasi tersebut adalah di Kilometer (KM) 84.7, KM112, KM113, KM114, KM115, KM116, KM117, KM124, KM126 dan KM198.
Menurutnya, empat lokasi lain juga dikenal pasti berisiko dinaiki air iaitu di KM156, KM178, KM242 dan di Ramp A, Persimpangan Jabor.
“Kejadian banjir ini berlaku pada 2007, 2014 dan dua kali pada 2021 iaitu pada Januari serta Disember yang menyebabkan lebuh raya ini ditutup kepada semua jenis kenderaan untuk beberapa hari.
“Bagi menangani masalah banjir daripada berulang, kerajaan telah mengarahkan kerja-kerja tebatan banjir untuk dilaksanakan dengan kadar segera di 14 lokasi sepanjang jajaran lebuh raya ini,” kata hari ini.
Beliau berkata sedemikian sempena tinjauan projek tebatan banjir LPT1 di Temerloh.
Nanta berkata, pada masa kini, kerja tanah di dua pakej iaitu di KM117 dan KM124 sedang giat dijalankan di tapak dan dijangka siap pada Oktober 2024. –
nasionalkini.my