KUANTAN, 21 Julai – Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) menumpaskan kegiatan perlombongan bahan mineral dipercayai bauksit tanpa lesen atau pajakan sah, di sini, petang semalam.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata berdasarkan maklumat, sepasukan lapan anggota Pasukan Elit UPNP yang sedang melakukan rondaan di sekitar daerah Kuantan ternampak aktiviti berkenaan pada jam 2.15 petang.
Beliau berkata, anggota UPNP kemudian melakukan intipan dan melihat aktiviti perlombongan itu menggunakan dua jengkaut dan tiga lori, sebelum melakukan serbuan.
“Pegawai Penguat Kuasa UPNP meminta pengusaha lombong itu mengemukakan sebarang kelulusan bagi aktiviti memunggah bahan mineral terbabit, namun gagal.
“Seterusnya, Pegawai Penguat Kuasa UPNP menahan enam lelaki serta menyita dua jengkaut dan tiga lori di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, lewat malam tadi.
Kes disiasat mengikut Seksyen 158 Enakmen Mineral Negeri Pahang 2001.- nasionalkini.my