IPOH, 1 Julai – Polis mengesahkan objek menyerupai bom mortar ditemukan di tepi kolam dekat Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz atau Padang Polo di sini petang semalam, tidak mengandungi bahan letupan.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, hasil pemeriksaan Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak mendapati objek itu digunakan untuk tujuan latihan.
“Bom mortar berukuran panjang 300 milimeter (mm) dan lebar 60 mm itu dibawa balik ke Bahagian Persenjataan IPK Perak untuk tindakan lanjut.
“Siasatan akan dilakukan daripada pelbagai sudut bagi mengenal pasti bagaimana objek itu boleh berada di lokasi kejadian termasuk berhubung dengan agensi pertahanan,” katanya kepada KOSMO di sini semalam.
Yahaya berkata, objek itu ditemui seorang lelaki yang sedang berjoging di taman rekreasi tersebut.
Katanya, pengadu yang melihat bahagian belakang bom tersebut segera melaporkan penemuan itu kepada polis pada pukul 3 petang. – nasionalkini.my
BERITA BERKAITAN