KUALA LUMPUR, 8 Julai – Seorang penyelia syarikat swasta menjadi mangsa terbaru ‘phone scam’ menyebabkan dia mengalami kerugian sebanyak RM217,000.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata, mangsa seorang wanita berusia 38 tahun membuat laporan diperdaya sindiket penghantar barang pada jam 1.23 petang, semalam.
Katanya, hasil siasatan awal pihak polis mendapati, mangsa dihubungi empat individu berlainan pada 26 Jun lalu, kira-kira jam 2 petang yang memperdaya mangsa dengan pelbagai dakwaan mencurigakan.
“Mangsa menerima satu panggilan telefon daripada seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya daripada syarikat penghantaran barang, menyatakan terdapat satu bungkusan milik mangsa mengandungi lima kad pengenalan, lima pasport dan lima kad ATM pelbagai bank.
Apabila mangsa menafikan milik bungkusan itu, mangsa diminta membuat laporan polis secara dalam talian dengan menyambungkan talian telefon kepada seorang perempuan yang memperkenalkan dirinya sebagai Sarjan Jasmine, sebelum disambungkan kepada lelaki mendakwa sebagai Inspektor Wong,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Yusri berkata, mangsa kemudiannya disambungkan talian kepada individu dengan nama Datuk Koh yang mengaku sebagai pegawai tinggi polis sebelum mengarahkannya memasukkan kesemua wang simpanan ke dalam enam akaun bagi tujuan siasatan membersihkan nama mangsa dan berjanji wang itu akan dikembalikan semula.
Mangsa yang dikatakan mempercayai suspek kemudian memindahkan keseluruhan wang simpanan dan wang pinjaman sebanyak RM217,000 bermula 27 Jun hingga 30 Jun lalu.
Bagaimanapun, wanita berkenaan hanya menyedari dirinya menjadi mangsa keadaan selepas menceritakan kejadian itu kepada rakannya sebelum membuat laporan polis.
Justeru, Mohd Yusri menasihatkan orang ramai supaya menggunakan aplikasi Whoscall atau Truecaller untuk mengetahui identiti pemanggil yang tidak dikenali serta tidak mudah panik sekiranya menerima panggilan dari scammer. – nasionalkini.my