KLANG, 22 Julai – Seorang bayi lelaki yang dipercayai baru dilahirkan, ditemui atas buaian besi berhadapan sebuah rumah di Lorong Asrama Anak Yatim, Batu 36, hari ini.
Bayi terbabit yang sudah dipotong tali pusatnya, ditemui oleh seorang pemandu lori berusia 29 tahun ketika mahu keluar bekerja pada jam 8.55 pagi.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, pengadu tinggal di rumah itu sejak berusia 18 tahun bersama seorang rakannya yang bekerja sebagai tukang kebun di asrama anak yatim.
“Pemandu lori itu terlihat sesuatu seperti bungkusan di atas buaian besi berhadapan rumahnya.
“Apabila didekati, beliau mendapati seorang bayi masih bernyawa dengan dibaluti kain batik tanpa sebarang pakaian,” katanya seperti dilapor BH Online.
Lelaki itu kemudian menghubungi pihak hospital untuk mendapatkan bantuan dan sebuah ambulans tiba beberapa minit kemudian bagi membuat pemeriksaan awal.
“Pembantu perubatan Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) mengesahkan bayi berkenaan berkeadaan sihat dan tidak mengalami kecederaan fizikal,” katanya.
bayi berkenaan katanya berada dalam keadaan bersih dan tiada kesan darah namun tiada dokumen atau barangan lain ditinggalkan.
bayi terbabit kini dibawa ke HTAJ untuk rawatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.