in

Vape pakai buang perlu diharamkan

IMG 20230528 100349 6 x 4 inch scaled
Gambar hiasan

LONDON, 28 Mei – Kerajaan Britain berdepan tekanan untuk mengharamkan penjualan vape pakai buang selepas peranti itu semakin popular dalam kalangan kanak-kanak, lapor akhbar The Guardian kelmarin.

Walaupun kerajaan melarang jualan rokok elektronik termasuk vape kepada penduduk berumur bawah 18 tahun, pakar berkata, sekitar 15 peratus kanak-kanak berumur 11 hingga 15 tahun menghisap vape di Britain.

Perdana Menteri, Rishi Sunak menyatakan pada minggu ini bahawa beliau bimbang anak perempuannya akan ‘tergoda’ oleh produk vape berperisa dijual dalam warna yang ‘berwarna-warni’.

Inisiatif kerajaan untuk mendapatkan bukti tentang tabiat menghisap vape dalam kalangan belia di England akan berakhir pada 6 Jun ini.

Langkah susulan dijangka dilaksanakan selepas itu termasuk membanteras jualan vape haram dan mengetatkan pemasaran vape pakai buang yang lebih murah.

Populariti vape pakai buang itu melonjak dalam kalangan belia.

Seorang pegawai kerajaan berkata, wujud kebimbangan khusus mengenai isu tersebut.

“Sesetengah pemasaran dan penjenamaan agak mengerikan. Kedai vape ini memiliki susun atur dan hiasan seperti kedai manisan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, sesetengah kumpulan kesihatan bimbang tentang pendekatan kerajaan dalam menangani isu tersebut selepas Menteri Muda Kesihatan, Neil O’Brien menggalakkan vape sebagai pengganti rokok tradisional dalam ucapan pada bulan lalu.

O’Brien juga berkata, kerajaan merancang melaksanakan skim ‘tukar untuk berhenti merokok’ dengan menawarkan kit permulaan vape percuma kepada kira-kira sejuta perokok di England.

Kumpulan-kumpulan kesihatan itu berkata, sejarah rokok elektronik singkat, bermakna pengetahuan tentang impak kesihatan jangka panjang dan bukti keberkesanannya dalam menghentikan tabiat merokok adalah terhad.

Mereka mengambil contoh Australia yang membenarkan penggunaan vape hanya melalui saranan doktor.

Difahamkan beberapa kumpulan terbabit telah mengemukakan bukti kesan negatif vape kepada kerajaan dan menyeru supaya peranti itu diharamkan sepenuhnya.

Selain mereka, beberapa organisasi alam sekitar bimbang tentang pelupusan lebih sejuta rokok elektronik seminggu dengan semuanya mengandungi plastik, nikotin dan bateri termasuk litium.

Dalam pada itu, Parti Liberal Demokrat menggesa larangan penggunaan vape pakai buang di Britain, manakala pembangkang utama, Parti Buruh hanya menuntut sekatan ke atas pemasaran rokok elektronik yang menjadikannya menarik kepada kanak-kanak. – nasionalkini.my

Giliran Ernie Zakri di papan iklan New York Times Square

Pengundi Turkiye pilih presiden hari ini